JDT dipilih kekal juara Piala Malaysia, rekod sejarah 'triple-treble'

KURANG tiga jam lagi sebelum berlangsungnya sepak mula perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, majoriti pembaca Sinar Harian memilih pasukan penuh bintang, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan terus mempertahankan kejuaraan menjulang piala berprestij negara itu.
Berdasarkan kaji selidik di platform media sosial Sinar Harian, sebanyak 420 daripada 830 responden yakin skuad JDT bimbingan Ketua Jurulatih, Hector Bidoglio bakal muncul juara menewaskan Sri Pahang FC.
Sebanyak 410 pengundi pula memilih Sri Pahang mampu menundukkan jaguh dari selatan tanah air itu sekali gus merampas kejuaraan untuk tahun 2025.
Setakat jam 5 petang Sabtu, kaji selidik di Instagram merekodkan 54 peratus responden memilih Harimau Selatan sebagai juara dan 46 peratus memilih Skuad Tok Gajah.

Kaji selidik di Facebook pula merekodkan 50 peratus responden memilih JDT dan 49 peratus mengundi Sri Pahang merangkul kejuaraan.
Bagaimanapun berbeza di aplikasi X yang rata-rata memilih skuad Sri Pahang kendalian Fandi Ahmad sebagai juara iaitu 53 peratus berbanding 47 peratus undian bagi pasukan JDT.
Seorang pengguna Facebook, Norazmi Ahmad berkata, dia meramalkan keputusan penuh bakal ditentukan melalui sepakan penalti.
"Target aku seri 90 minit, penalti Pahang skor satu mata. Aku yakin Sri Pahang boleh dengan semangat walaupun tak banyak pemain import," ujarnya.
Sementara itu, pengguna Instagram, al_rawandi pula meramalkan Sri Pahang mengalahkan JDT dengan skor 1-0.
"Walaupun saya penyokong setia Selangor tetapi perlawanan akhir malam ini, saya menyokong penuh pasukan Sri Pahang FC untuk muncul juara Piala Malaysia. Ramalan saya Sri Pahang 1, JDT 0," ulasnya.
Bagaimanapun, Shiddyr menerusi laman Instagramnya, berpendapat perlawanan kali ini dijangka kurang sengit.
"7-0. JDT belasah Sri Pahang," ujarnya.
Kali terakhir JDT dan Sri Pahang bertemu di pentas final Piala Malaysia ialah pada musim 2014, yang menyaksikan skuad Tok Gajah muncul juara menerusi penentuan penalti 5-3 selepas terikat 2-2.
Dalam saingan Liga Super musim ini, JDT mencatat dua kemenangan ke atas Sri Pahang 3-0 dan 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
JDT kini memburu sejarah untuk menjadi pasukan pertama memenangi 'triple-treble' selepas menjulang kejuaraan Liga Super dan Piala FA musim ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

