Pengundi penentu sebenar Ayer Kuning milik siapa

Seramai 31,281 pengundi berdaftar bakal menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu untuk memilih wakil rakyat baharu.
Seramai 31,281 pengundi berdaftar bakal menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu untuk memilih wakil rakyat baharu.
A
A
A

HARI ini pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning bakal menentukan sama ada kerusi itu berubah warna atau kekal menjadi milik Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK).

Mengikut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 31,281 orang pemilih berdaftar yang layak membuang undi di 19 pusat mengundi ditetapkan.

Dari segi komposisi pengundi, sebanyak 56.8 peratus merupakan pengundi Melayu diikuti 21.1 peratus pengundi Cina, India (14.4 peratus), Orang Asli (6.7 peratus) dan lain-lain (0.7 peratus).

Segmen pengundi muda dalam lingkungan usia 21-40 tahun adalah paling tinggi iaitu 42.8 peratus, diikuti mereka yang berusia pertengahan antara 41 hingga 60 tahun sebanyak 31.6 peratus dan pengundi 61 tahun ke atas pula 20.5 peratus. Selebihnya adalah pengundi baharu dalam lingkungan usia 18 hingga 20 tahun.

Pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek; dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS menjadikan PRK ini bukan sahaja medan ujian buat parti-parti bertanding, tetapi juga petunjuk penting kepada kesepaduan politik dalam Kerajaan Perpaduan di Perak.

Meskipun firma penyelidikan bebas, Ilham Centre meramalkan BN tidak berdepan ancaman besar untuk mengekalkan kemenangan, namun persoalan utama yang berlegar ialah sejauh mana kejayaan Kerajaan Perpaduan meraih undi majoriti tinggi seperti yang disasarkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hisomuddin Bakar dilapor berkata, BN dilihat berada dalam posisi selesa berdasarkan pemantauan selama dua minggu tempoh berkempen, namun jumlah undi bakal diterima masih menjadi tanda tanya sama ada ia menepati sasaran 18,000 undi seperti yang diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Jumlah pengundi keluar adalah satu perkara penting dan membimbangkan, apatah lagi temubual Ilham Centre mendapati pengundi muda khususnya mereka yang berada di luar kawasan seperti di Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh dan Teluk Intan secara jelas menyatakan bahawa mereka tidak berminat untuk pulang mengundi.

Artikel Berkaitan:

Lebih membimbangkan, pengundi berkemungkinan tidak keluar mengundi disebabkan cuaca tidak menentu seperti diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa cuaca cerah pada sebelah pagi manakala ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang.

Sehubungan itu, semua jentera parti perlu melakukan mobilisasi berkesan demi memastikan faktor cuaca tidak menjadi halangan kepada pengundi Ayer Kuning untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Justeru, dengarlah saranan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun untuk keluar mengundi awal berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Ingatlah, keyakinan pengundi terhadap kekuatan parti pilihan masing-masing tidak boleh dijadikan alasan untuk duduk diam di rumah pada hari pengundian.

Sehubungan itu, pengundi Ayer Kuning khususnya anak perantau perlu keluar dan pulang mengundi bagi menentukan hala tuju masa depan kawasan mereka.

Ayuh keluar mengundi, baliklah mengundi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!