Pembinaan skala besar LRT Laluan Mutiara bermula suku keempat 2026 - MRT Corp

GEORGE TOWN - Kerja-kerja pembinaan berskala besar untuk projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dijangka bermula pada suku keempat 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, berdasarkan kemajuan semasa, kontraktor akan memulakan penyiasatan tapak di sepanjang jajaran yang dicadangkan, sebelum reka bentuk akhir dimuktamadkan.
"Penyiasatan tapak telah dilakukan sebelum ini dan data sudah ada, ini bukanlah sesuatu yang baharu sepenuhnya. Bagaimanapun, mungkin terdapat keadaan atau lokasi tertentu yang memerlukan kemas kini oleh kontraktor.
"Ini kerana penyiasatan tapak yang terdahulu dilakukan sekitar 2018, sudah agak lama. Jadi sekarang, kontraktor perlu menjalankan satu pusingan penyiasatan tapak yang baharu," katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri LRT Laluan Mutiara di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari.
Mengulas lanjut, Mohd Zarif berkata, reka bentuk berkenaan perlu mengambil kira keadaan tanah terkini, serta infrastruktur utiliti bawah tanah sedia ada yang mungkin memerlukan pemindahan.
"Oleh itu, secara semula jadinya beberapa utiliti di sepanjang rizab jalan perlu dipindahkan terlebih dahulu. Proses ini juga perlu dijalankan. Jadi, dari segi aktiviti pembinaan, anda akan mula melihat tanda-tanda seperti jentera ringan digerakkan untuk memulakan pemindahan utiliti dalam tempoh enam bulan akan datang," katanya.
Beliau berkata, adalah perkara biasa bahawa pada tahun-tahun awal, projek seperti laluan LRT mengikuti trajektori lengkung S, dengan kemajuan akan meningkat secara ketara selepas mencapai tahap kritikal tertentu.
"Ia tidak akan menjadi lonjakan yang mendadak, kemajuan akan berlaku secara berperingkat sehingga beberapa waktu tahun depan. Trajektori lengkung S ini mungkin menjadi lebih jelas sekitar 2027 atau 2028, dengan anda boleh melihat cerun lengkungnya.
"Menjelang 2029, kita mungkin akan mencapai puncak lengkung S ini dan itu akan membawa kita ke dua tahun lagi hingga akhir 2031," katanya.
LRT Laluan Mutiara sejauh 29.5 km merangkumi 21 stesen, di lokasi-lokasi yang strategik, termasuk satu stesen provisional di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang atau Penang South Reclamation Island-A (PSR-A), meliputi jajaran sejauh 29.5 kilometer (km).
Ia akan menghubungkan PSR-A dengan Penang Sentral dan Stesen Komtar di George Town, dan tren beroperasi secara bergilir di kedua-dua laluan untuk liputan yang lebih luas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!