Tahun Baharu Cina: Kerja pembinaan lorong tambahan lebuh raya laluan Kulai-Sedenak dihenti 12 hari

Nanta (tengah) ketika sidang akhbar selepas meninjau Projek Pembinaan Lorong Tambahan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Fasa 1 Senai Utara-Sedenak pada Khamis.
Nanta (tengah) ketika sidang akhbar selepas meninjau Projek Pembinaan Lorong Tambahan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Fasa 1 Senai Utara-Sedenak pada Khamis.
A
A
A

KULAI - Semua kerja bagi projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) laluan Kulai-Sedenak akan dihentikan sementara selama 12 hari bermula 23 Januari ini sehingga 3 Februari depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu bagi mengelakkan kesesakan susulan musim cuti persekolahan dan cuti Tahun Baharu Cina.

"Menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina nanti, semua kerja-kerja yang dijalankan di lokasi terbabit tidak akan melibatkan sebarang penutupan lorong di kedua-dua arah lebuh raya dan tidak akan mengganggu aliran trafik sedia ada.

"Saya sudah mengarahkan pihak PLUS supaya memastikan kelancaran trafik di lokasi semasa melaksanakan semua kerja-kerja di tapak pembinaan pada musim perayaan nanti.

"Oleh itu, pada musim cuti sekolah dan Tahun Baru Cina nanti, arahan pemberhentian kerja sementara sudah dikeluarkan selama 12 hari bermula daripada 23 Januari hingga 3 Februari," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau Projek Pembinaan Lorong Tambahan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Fasa 1 Senai Utara-Sedenak, Pakej A: Kulai-Sedenak di Persimpangan Bertingkat Sedenak di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Hasni Mohamad; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir; Ketua Pengarah LLM, Datuk Sazali Harun dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Nik Airina Nik Jaffar.

Dalam pada itu, Nanta berkata, peratus kemajuan projek pembinaan lorong tambahan PLUS laluan Kulai-Sedenak setakat 31 Disember lalu telah mencapai sebanyak 5.02 peratus.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerja pembinaan yang bermula sejak Julai tahun lalu juga didapati berjalan lancar mengikut jadual.

Beliau berkata, kerja yang sedang giat dijalankan di lokasi termasuk kerja tanah, pemotongan dan tambakan cerun, struktur perparitan, pengalihan utiliti dan pelan pengurusan trafik.

"Selepas kerja-kerja tanah di laluan Sedenak -Kulai arah Selatan ini selesai, kerja pembinaan lorong tambahan di lokasi berkenaan akan dimulakan secara berperingkat.

"Keseluruhan kerja pembinaan lorong tambahan ini dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun 2027.

"Kos keseluruhan fasa 1 ini adalah sebanyak RM515 juta di mana kos bagi jajaran ini (Sedenak-Kulai) ialah RM249 juta," katanya.

Beliau berkata, projek pembinaan lorong tambahan yang akan dilebarkan dari dua lorong kepada tiga lorong itu dijalankan secara berfasa dari Fasa 1 ke Fasa 3 iaitu dari Senai Utara ke Machap.

Katanya, projek berkenaan adalah inisiatif yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan bagi menangani kesesakan di Lebuhraya PLUS yang sering berlaku pada waktu puncak, semasa cuti umum dan musim perayaan, terutama di laluan Selatan yang sebelum ini hanya mempunyai dua lorong sehala.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!