Petronas Dagangan catat prestasi tertinggi, kukuh posisi pasaran dan fokus ESG

PETRONAS Dagangan Berhad (Petronas Dagangan) mencatatkan prestasi kewangan terbaik bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, sejajar dengan usaha berterusan memperkukuh operasi serta memberi tumpuan terhadap keperluan pelanggan.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Osman Rani berkata, syarikat mencatat jumlah jualan tertinggi pernah direkodkan serta menunjukkan kemajuan signifikan dalam meningkatkan pengalaman pelanggan hasil pelaksanaan strategi dan pengurusan kos secara berdisiplin.
“2024 mengingatkan bahawa kekuatan sebenar terletak pada matlamat, pelanggan dan pelaksanaan. Keperluan pelanggan yang sentiasa berubah serta perkembangan landskap perniagaan menuntut kami bergerak dengan hala tuju yang jelas.
“Kekuatan Petronas Dagangan adalah keupayaannya mencipta pengalaman lebih baik dan mudah dalam kehidupan seharian pelanggan,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-43 yang berlangsung pada Khamis.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Petronas Dagangan, Datuk Anuar Ahmad, serta turut disertai Ketua Pegawai Operasi, Azureen Azita Abdullah; Ketua Pegawai Kewangan, Farzlina Ahmad Murad dan ahli lembaga pengarah lain.
AGM kali ini merupakan yang pertama sejak 2019 yang membolehkan pengurusan tertinggi berkongsi sorotan prestasi serta hala tuju strategik selepas mengharungi tahun penuh cabaran.
Bertemakan ‘Thriving Forward’ yang turut menjadi asas Laporan Terintegrasi 2024, mesyuarat itu menegaskan komitmen Petronas Dagangan untuk terus menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pasaran menerusi pendekatan strategik yang mampan.
Azrul turut memaklumkan syarikat menerima pengiktirafan nasional dengan meraih 25 anugerah platinum dan 408 anugerah emas daripada Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH).
“Skor Net Promoter Score (NPS) juga tertinggi setakat ini. Pertumbuhan kukuh turut dicatatkan dengan peningkatan jualan sembilan peratus dalam sektor penerbangan serta 19 peratus dalam segmen diesel.
“Pelaksanaan sistem SmartPay di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 turut memperkukuh penawaran kepada pelanggan sektor pengangkutan dan logistik,” ujarnya.
Petronas Dagangan juga mengekalkan kedudukan sebagai peruncit gas petroleum cecair (LPG) utama negara, mencatat jumlah jualan tertinggi sejak 2016, selain berjaya memperoleh lebih 50 pelanggan komersial baharu.
“Kepimpinan pasaran diperkukuh menerusi kerjasama strategik dengan pertumbuhan jualan sembilan peratus yang melepasi penanda aras industri. Nilai perdagangan kasar (GMV) Setel turut mencapai tahap tertinggi.
“Dari sudut alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), sebanyak 184 stesen telah dipasang sistem solar menerusi kerjasama bersama Gentari,” jelas beliau.
Petronas Dagangan juga melabur lebih RM1.9 juta dalam program kemasyarakatan yang memanfaatkan sekitar 33,000 individu termasuk inisiatif memperkasa golongan orang kurang upaya (OKU).
“Kami menjalinkan kerjasama dengan ENOKU dalam melaksanakan Latihan Kesetaraan OKU (DET) kepada pengurusan dan kakitangan, serta mendorong pengambilan lebih ramai OKU sebagai warga kerja Petronas.
“Kajian tahun 2024 menunjukkan bahawa para pengedar telah menggaji 86 OKU secara inisiatif sendiri, manakala 28 individu lagi mendapat pekerjaan melalui kerjasama dengan ENOKU,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!