Isu pegangan hartanah UMNO, Tun M fail notis tuntutan terhadap Zahid

Dr Mahathir, Ahmad Zahid
Dr Mahathir, Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memfailkan notis tuntutan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan berunsur fitnah membabitkan isu pegangan amanah hartanah UMNO.

Dr Mahathir, 99, memfailkan notis tersebut menerusi firma guaman Rafique pada Jumaat.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan peguam, Rafique Rashid yang mewakili Dr Mahathir, kenyataan yang dipertikaikan itu ialah berkaitan dakwaan Ahmad Zahid, 72, bahawa bekas Ahli Parlimen Langkawi itu enggan melepaskan pegangan amanah terhadap hartanah milik UMNO.

Susulan itu, Dr Mahathir menuntut agar Ahmad Zahid membuat pengakuan bahawa kenyataan fitnah yang dituturkan pada 11 April lalu merupakan penipuan semata-mata.

Selain itu, beliau menuntut yang sidang media terbuka diadakan di Ibu Pejabat parti itu dan di pejabat Timbalan Perdana Menteri bagi mengakui kenyataan tersebut adalah tidak benar dan bersifat fitnah.

Katanya, permohonan maaf secara bertulis juga perlu dibuat kepada Dr Mahathir dengan akujanji tidak akan mengulangi sebarang kenyataan yang menjejaskan reputasinya.

"Ia termasuk menerbitkan permohonan maaf di semua platform media sosial rasmi serta di akhbar arus perdana selama 30 hari berturut-turut.

"Dr Mahathir turut memberi tempoh tujuh hari kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk mematuhi tuntutan tersebut," kata notis berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peguam berkenaan menegaskan bahawa anak guamnya turut merizabkan hak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya perlu.

“Kami tidak teragak-agak untuk meneruskan tindakan undang-undang termasuk terhadap pihak lain yang terlibat sekiranya perkara ini tidak diselesaikan dengan memuaskan," katanya.

Pada 15 April lalu, Dr Mahathir menafikan dakwaan bahawa beliau enggan menandatangani surat perlepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah bagi aset milik UMNO.

Beliau menempelak beberapa pemimpin UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang didakwa

membuat tuduhan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!