Status dua ADUN Bersatu Pulau Pinang akan ditentukan

Kon Yeow (tengah) mengadakan pertemuan dengan Khaliq (dua dari kiri) dan Zolkifly (kiri) minggu lalu.
Kon Yeow (tengah) mengadakan pertemuan dengan Khaliq (dua dari kiri) dan Zolkifly (kiri) minggu lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan berunding dengan penasihat undang-undang negeri untuk melihat peruntukan undang-undang di bawah perlembagaan negeri berhubung status dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, penasihat undang-undang negeri akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara mengenai perkara itu.

Menurutnya, buat masa ini kerajaan negeri tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap kedudukan ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim.

"Kita sedang menantikan nasihat daripada penasihat undang-undang dan Jabatan Peguam Negara berhubung perkara ini," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini hari ini.

Kon Yeow berkata demikian ketika ditanya mengenai status dua ADUN Bersatu dalam pentadbiran negeri setelah berlaku perubahan politik di peringkat Persekutuan.

Tambahnya, kerajaan negeri perlu menunggu status Bersatu di peringkat kebangsaan sebelum membuat keputusan.

"Status Bersatu di peringkat kebangsaan masih tidak menentu pada masa ini.

"Nampaknya terdapat lebih daripada satu puak dalam Bersatu dan ada banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Minggu lalu, Kon Yeow mengesahkan status quo dua ADUN Bersatu Pulau Pinang adalah kekal sama sehingga keputusan lanjut daripada kerajaan Persekutuan dibuat kelak.

Keputusan itu dibuat selepas Ketua Menteri itu mengadakan pertemuan dengan Khaliq dan Zolkifky di pejabatnya.

Dalam perjumpaan tersebut, kedua-dua ADUN terus komited menyatakan sokongan terhadap Ketua Menteri dan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.

Perjumpaan itu susulan Bersatu mengumumkan keluar daripada PH yang diumumkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui satu kenyataan dengan menyatakan ia diputuskan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dalam mesyuarat khas yang diadakan 24 Februari lalu.