Berkat nenek baca Yasin di luar dewan peperiksaan, cucu dapat 9A SPM

Sebelum ini tular di media sosial, seorang nenek membaca Surah Yasin di MRSM Lenggong untuk cucunya, Muhammad Afifi (gambar kanan) yang menduduki peperiksaan SPM.
Sebelum ini tular di media sosial, seorang nenek membaca Surah Yasin di MRSM Lenggong untuk cucunya, Muhammad Afifi (gambar kanan) yang menduduki peperiksaan SPM.
A
A
A

IPOH - Ikhtiar seorang nenek membaca surah Yasin untuk cucunya yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berhasil apabila pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) itu berjaya memperoleh keputusan 9A bagi semua mata pelajaran.

Muhammad Afif Syakirin Rahimi, 18, tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya apabila usaha serta penat lelah sebelum ini membuahkan hasil.

Dia mengakui tidak menyangka keputusan itu diterimanya walaupun pihak sekolah memang meletakkan sasaran semua A bersama 35 rakan-rakan lain.

Muhammad Afifi bersama gurunya menunjukkan slip keputusan peperiksaan yang diterimanya pada Khamis.
Muhammad Afifi bersama gurunya menunjukkan slip keputusan peperiksaan yang diterimanya pada Khamis.

"Pada awalnya selepas habis peperiksaan saya rasa hanya dapat 9A sahaja kerana ada mata pelajaran yang sukar dan tak pasti jawapannya betul atau tidak.

"Alhamdulillah, selepas tengok keputusan itu saya tak sangka dapat empat subjek A manakala selebihnya A biasa.

"Ini mungkin berkat doa nenek, keluarga, guru-guru dan rakan-rakan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Muhammad Afif Syakirin merancang melanjutkan pengajian dalam bidang profesional seperti kejuruteraan, perniagaan dan perubatan.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Afif bersama neneknya, Mek Nab.
Muhammad Afif bersama neneknya, Mek Nab.

Sementara itu, neneknya, Mek Nab Abdul Rahman, 82, paling gembira mendapat berita kejayaan cucunya itu kerana memang menjadi amalan untuk mendoakan anak dan cucu.

Katanya, biarpun tinggal di Kelantan, sesekali datang ke Lenggong di rumah anaknya sambil menjenguk cucu di MRSM jika ada kesempatan.

Bagi bapanya, Rahimi Ashari, 56, anak bongsu dari dua beradik itu telah lakukan yang terbaik untuk membanggakan keluarga dengan keputusan cemerlang itu.

"Rumah kami ke sekolah dekat sahaja dalam 15 minit. Jadi saya memang kerap ke MRSM Lenggong untuk lawat anak, bagi semangat kalau pihak sekolah benarkan.

"Alhamdulillah, kami bersyukur dan sangat gembira dengan kejayaannya mendapat 9A," katanya.

Sebelum ini tular di media sosial, seorang nenek membaca Surah Yasin di MRSM Lenggong untuk cucunya yang menduduki peperiksaan SPM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!