BN tenang, PN terdesak, PSM terus mencuba

TAPAH - Ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning memasuki minggu terakhir, dinamik politik antara calon-calon dilihat semakin ketara.
Penganalisis politik, Dr Siti Noranizahhafizah Boyman berkata, Barisan Nasional (BN) berada dalam posisi paling stabil berbanding pesaingnya.
Menurut beliau, walaupun semua calon mempergiatkan kempen dalam fasa kedua, BN dilihat lebih tersusun apabila melancarkan manifesto secara berstrategi untuk menarik sokongan pengundi.
“Kalau kita tengok selepas fasa kedua kempen, saya nampak ada beberapa pecutan bagi calon-calon bertanding dengan membawakan pelbagai isu dan pendekatan demi meraih undi.
“Tapi perspektif saya masih juga seperti hari pertama kempen, saya masih beranggapan calon BN masih lagi mendahului walaupun calon-calon yang lain juga hebat,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Noranizahhafizah berkata, Perikatan Nasional (PN) sejak akhir-akhir ini mula memainkan isu-isu sensitif, termasuk berkaitan sentimen agama dan kaum, khususnya berhubung isu ladang babi yang dibangkitkan secara konsisten.
Katanya, kempen seumpama itu disifatkan sebagai terdesak apabila PN melihat peluang untuk mendapatkan sokongan undi orang Melayu yang terkesan dengan isu berkenaan.
“Kita tengok fasa kedua kempen PN ada ceramah-ceramah mega menampilkan tokoh pimpinan tertinggi di peringkat pusat dan saya nampak ada keterdesakan apabila sebab isu-isu sensitif dimainkan.
“Isu ladang babi ini sangat sensitif kepada orang Melayu dan sebenarnya boleh membawa naratif sentimen agama. Di sini nampak keterdesakan PN dalam meraih undi terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu konservatif dan atas pagar,” ujarnya.
Namun begitu, Pensyarah Kanan dan Penyelaras Kluster Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berpandangan kerajaan negeri berjaya mengawal sentimen dan persepsi masyarakat yang cuba dimainkan apabila dengan segera memberikan penjelasan terhadap isu berkenaan.
Katanya, senario berkenaan memberikan kelebihan kepada calon Kerajaan Perpaduan sekali gus memperlihatkan keberkesanan kerjasama di antara BN dan Pakatan Harapan (PH).
“BN perlu terus menjelaskan isu ini secara berhemah sampai ke akar umbi. Jika tidak ditangani dengan baik, isu ini boleh menghakis sokongan terutamanya di kawasan majoriti Melayu.
“Bagaimanapun, saya berpandangan bahawa sekiranya pihak kerajaan atau calon BN dapat memberikan penjelasan secara rasional tanpa dipengaruhi emosi, isu ini tidak cukup kuat untuk mengubah persepsi majoriti pengundi secara keseluruhan,” jelasnya.
Sementara itu, kehadiran calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS pula dianggap membawa pendekatan segar dalam kempen pilihan raya kali ini.
Jelas beliau, meskipun peluang PSM untuk mencabar dominasi dua gergasi politik agak tipis, kehadiran mereka berpotensi memecah undi terutamanya dalam kalangan pengundi yang tidak cenderung kepada PH mahupun BN.
PRK DUN Ayer Kuning kini berada di kemuncak debaran apabila hanya tinggal sehari sebelum pengundi membuat pilihan.
Antara kematangan strategi, keupayaan menjawab isu serta pendekatan yang membumi akan menjadi penentu sebenar di peti undi kelak.Calon PN hanya mampu jadi pemudah cara
Calon PN hanya mampu jadi pemudah cara
Menjadi pemudah cara kepada masalah yang dibangkit rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning merupakan antara tawaran yang mampu diberikan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan.
Abd Muhaimin Malek berkata, itu perkara yang akan dilakukan dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat dengan menyalurkan sesuatu isu kepada pihak berwajib.
Menurutnya, isu-isu berkaitan keselamatan, penerokaan tanah, gangguan haiwan liar dan sebagainya antara masalah yang dikemukan penduduk ketika kempen.
“Saya lihat isu-isu ini akan jadi satu tawaran semula bagi saya untuk kita selesaikan isu ini setelah kita dapat kuasa ataupun beroleh kemenangan. Untuk orang muda, kita cuba melihat peluang-peluang pekerjaan.
“Kita akan jadi pemudah cara untuk orang muda ini berhubungan dengan pihak-pihak berwajib untuk mendapatkan pekerjaan-pekerjaan untuk mereka supaya mereka dapat survive daripada kehidupan mereka," katanya dalam temu bual bersama Sinar Harian.
Dalam temu bual itu juga, Abd Muhaimin beberapa kali mengulangi pendekatan untuk bertindak sebagai perantara antara penduduk dengan pihak berkuasa, tanpa menjelaskan sebarang perancangan konkrit atau inisiatif tersendiri sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat.
Ditanya mengenai tawaran kepada pengundi luar, Pengerusi PN Parlimen Tapah itu berkata, ahli keluarga mereka yang tinggal di kawasan DUN Ayer Kuning akan diberikan perhatian untuk menyelesaikan masalah berbangkit.
Kemampuan calon PSM jadi persoalan
Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning semakin rancak memasuki minggu kedua, namun timbul persoalan sejauh mana kemampuan calon yang hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk membawa pembangunan mampan kepada rakyat.

Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS mengakui segala bentuk kempen parti itu termasuk makanan, bahan kempen dan gerak kerja lapangan dilakukan hasil tajaan dan bantuan sukarelawan tempatan serta luar kawasan.
"Memasuki hari kesembilan, kempen kami berjalan dengan baik hasil bantuan semua sukarelawan. PSM juga dapat sumbangan daripada rakyat. Ramai petani hantar bahan mentah dan kami ada sukarelawan yang memasak di bilik gerakan setiap hari.
"Selain itu, ramai pengikut bantu sebarkan maklumat kempen melalui media sosial, mereka tak hadir tapi sudi beri sumbangan berbentuk wang ringgit serta suntikan motivasi," katanya kepada pemberita.
Keadaan tersebut menggambarkan keterbatasan dari segi keupayaan calon dan parti berkenaan untuk menyelesaikan isu-isu yang membelenggu penduduk Ayer Kuning.
Di sebalik kekurangan sumber itu, Bawani tampil mahu menonjolkan diri sebagai seorang berintegriti dengan mengisytiharkan harta yang dimiliki.
Tindakan tersebut katanya sebagai semak dan imbang supaya wakil rakyat yang mahu dipilih itu 'bersih' dan bebas rasuah sebelum memenangi pilihan raya tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
