Era Vardy di Leicester City berakhir

PENYERANG Leicester City, Jamie Vardy akan meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu pada penghujung musim ini menyusuli penyingkiran The Foxes daripada liga utama tersebut.
Pemergian Vardy menandakan berakhirnya sebuah era beliau mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang pemain terhebat dalam pasukan yang seringkali melangkaui jangkaan.
Vardy, yang direkrut daripada kelab Divisyen Lma Fleetwood Town dengan nilai satu juta pound tahun 2012, menjelma sebagai pemain teragung era moden kelab itu dengan 198 gol dalam semua pertandingan.
Namun, pencapaiannya yang paling gemilang diingat semua adalah ketika menerajui Leicester City kendalian meraih kejuaraan EPL pada musim 2015-16.
“Amat sedih hari ini tiba tetapi saya tahu ia pasti akan tiba. Saya telah menikmati 13 tahun yang luar biasa di kelab ini dengan pelbagai kejayaan, ada juga saat sukar tetapi majoritinya adalah kegembiraan.
“Akhirnya tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal dan saya amat terkilan. Tetapi saya rasa inilah masa yang tepat, saya hanya ingin mengucapkan terima kasih yang tulus kepada anda semua kerana menerima saya sebagai salah seorang daripada anda.
“Leicester akan sentiasa memiliki tempat yang istimewa di hati dan saya akan pastikan untuk terus menyokong pada tahun-tahun akan datang dengan harapan kelab ini akan meraih lebih banyak kejayaan.
“Buat masa ini, ini adalah ucapan selamat tinggal saya tetapi anda pasti akan melihat saya lagi, saya berjanji,” kata pemain berusia 38 tahun itu.
Sementara itu, pengerusi Foxes, Aiyawatt Srivaddhanaprabha berkata: “Jamie unik dan istimewa memiliki tempat di hati semua yang berkaitan dengan Leicester City.”
“Beliau sememangnya mendapat penghormatan dan kasih sayang yang mendalam daripada saya. Saya amat berterima kasih atas segala yang telah beliau berikan kepada kelab bola sepak ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!