Rashford sasar kelab beraksi Liga Juara-Juara

PENYERANG England, Marcus Rashford dikatakan berminat untuk menyertai kelab yang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara bagi perpindahan seterusnya.
Rashford yang kini dipinjamkan ke Aston Villa dari Manchester United dijangka akan menangguhkan sebarang keputusan mengenai masa depannya sehingga tamat musim ini.
Villa memiliki perjanjian dengan United untuk menjadikan perpindahan Rashford kekal secara tetap dengan nilai sekitar 40 juta pound (RM233 juta).
Bagaimanapun, sumber dilaporkan oleh ESPN memaklumkan bahawa Villa masih belum membuat keputusan sama ada mahu mengaktifkan klausa pembelian tersebut atau tidak.
Dalam masa yang sama, Rashford perlu mencapai persetujuan terma peribadi dengan Villa dan difahamkan gajinya yang dianggarkan sekitar 350,000 pound (RM2 juta) seminggu mungkin menjadi halangan utama.
Pemain berusia 27 tahun itu masih mempunyai baki kontrak selama tiga tahun di Old Trafford, namun beliau dikatakan berhasrat untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Selepas kekalahan 1-2 kepada Manchester City pada Selasa lalu, Villa kini berada di kedudukan ketujuh Liga Perdana Inggeris dengan hanya dua mata di belakang Newcastle di tangga kelima, dengan empat perlawanan berbaki.
Sumber turut memaklumkan kepada ESPN bahawa walaupun Rashford tidak menutup pintu untuk kembali ke United, beliau tidak percaya akan mendapat peluang bermain secara tetap selagi Ruben Amorim kekal sebagai ketua jurulatih.
Amorim sebelum ini membuat keputusan menggugurkan Rashford daripada kesebelasan utama pada Disember lalu sebelum meluluskan pinjamannya ke Villa pada Januari.
Pihak kelab menyatakan bahawa semua kemungkinan masih terbuka, dan Rashford dijangka akan melapor diri ke pusat latihan Carrington pada Julai depan bagi persediaan pramusim sekiranya tiada sebarang perpindahan dimuktamadkan sebelum itu.
Situasi ini berkemungkinan akan mengulangi insiden musim panas lalu apabila Jadon Sancho menyertai skuad United untuk jelajah ke Amerika Syarikat meskipun tidak lagi mendapat kepercayaan daripada bekas pengendali, Erik ten Hag.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!