Tite cuti panjang selepas terima isyarat bahasa tubuh

Tite rehat panjang, fokus pulih mental, fizikal
Tite rehat panjang, fokus pulih mental, fizikal
A
A
A

BEKAS pengendali skuad kebangsaan Brazil, Tite mengumumkan mengambil cuti panjang daripada arena bola sepak bagi memberi keutamaan sesi pemulihan kesihatan mental dan fizikalnya.

Jurulatih berpengalaman berusia 63 tahun itu, yang pernah membawa Brazil menjuarai Copa America 2019, dimasukkan ke hospital pada Ogos tahun lalu akibat masalah jantung.

Beberapa minggu kemudian, beliau dipecat kelab Clube de Regatas do Flamengo, kebelakangan ini dikaitkan dengan jawatan pengendali di Sport Club Corinthians Paulista, bekas kelab lamannya.

"Saya menyedari bahawa ada masanya kita perlu memahami bahawa sebagai manusia, saya juga boleh menjadi lemah.

"Mengakui hal itu tidak menjadikan saya lemah, malah menjadikan saya lebih kuat.

Saya amat mencintai profesion ini dan akan terus begitu.

"Namun, selepas berbincang bersama keluarga dan mendengar isyarat yang dihantar oleh tubuh, saya membuat keputusan untuk berehat dan menjaga diri selama mana yang diperlukan saya," katanya.

Imbas kembali... Tite memberikan arahan kepada Neymar ketika mengendalikan Brazil sebelum ini. FOTO AGENSI
Imbas kembali... Tite memberikan arahan kepada Neymar ketika mengendalikan Brazil sebelum ini. FOTO AGENSI

Artikel Berkaitan:

Tite turut mengesahkan bahawa rundingan bersama Corinthians yang semakin hangat diperkatakan, kini dihentikan berikutan keputusan peribadinya itu.

"Seperti yang telah diketahui umum, terdapat perbincangan yang sedang berjalan dengan Corinthians, tetapi ia terpaksa dihentikan oleh keputusan yang sukar tetapi perlu ini demi keseluruhan kesihatan saya."

Keputusan Tite untuk berehat buat sementara waktu sememangnya mengejutkan ramai dalam arena bola sepak Amerika Selatan.

Bagaimanapun keputusan itu disifatkan mencerminkan keberanian seorang tokoh besar yang memilih untuk memberi keutamaan kepada kesejahteraan diri.

Tite meletakkan jawatan sebagai jurulatih Brazil selepas kekalahan mengejut di tangan Croatia pada suku akhir Piala Dunia 2022.

Sepanjang karier cemerlangnya, beliau pernah melatih beberapa kelab elit Brazil termasuk Gremio FBPA, Clube Atlético Mineiro, dan Sociedade Esportiva Palmeiras.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!