Rebut kawasan minta sedekah punca lelaki OKU maut ditikam depan bank

SHAH ALAM - Perebutan kawasan meminta sedekah antara dua lelaki berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut ditikam dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Seksyen 18 di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12 tengah hari itu melibatkan mangsa, seorang lelaki kurang upaya (OKU) berusia 40 tahun yang sering meminta sedekah di lokasi berkenaan.
"Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada pertikaian mengenai kawasan meminta sedekah antara mangsa dan suspek yang turut merupakan peminta sedekah.
"Suspek juga seorang lelaki berusia 28 tahun, dipercayai ingin meminta sedekah di tempat sama sebelum berlaku pertengkaran antara kedua-dua mereka," katanya pada Khamis.
Katanya, suspek kemudian mengeluarkan pisau dan menikam mangsa beberapa kali di bahagian dada.
"Mangsa kemudiannya rebah dalam keadaan berlumuran darah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Bertindak atas maklumat, suspek berjaya diberkas kira-kira jam 12.30 tengah hari di lokasi sama," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.
"Ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada sebarang pengaruh dadah.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat," katanya.
Mohd Iqbal berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Muhammad Abd Hafiz Sariee di talian 014-8905051," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

