Kilang bancuh cat terbakar

KULAI – [DI KEMAS KINI] Sebuah kilang membancuh cat di Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai di sini musnah 95 peratus dalam kebakaran petang tadi.
Menurut Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Fauzi Awang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut pada jam 2.13 petang.
Katanya, setelah menerima panggilan, empat jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT), dua jentera perkhidmatan, penyelamatan, perawatan, kecemasan (EMRS), tiga kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, satu kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Kembara, dua lori tangki air, dua kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton, satu lori HICOM, satu pikap jenis Proton Arena, satu unit forensik dan 46 anggota dari BBP Kulai, BBP Skudai, BBP Kempas, BBP Pontian Baru, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kulai Besar dan PBS Senai dihantar ke lokasi.

“Setibanya ke tempat kejadian didapati kebakaran tersebut melibatkan sebuah kilang membancuh cat (flower paint) berkeluasan 30 x 60 kaki persegi.
“Kebakaran telah memusnahkan 95 peratus kilang hingga merebak ke dua kilang bersebelahan yang juga berkeluasan 30 x 60 persegi hingga mengakibatkan kemusnahan 25 peratus.
“Selain itu, sebuah jip, tiga kereta, satu MPV (kenderaan pelbagai guna), satu lori dan satu forklift didapati telah terbakar sebanyak 80 peratus,” katanya.

Pihak bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja pemadaman dan operasi terkawal pada jam 5.16 petang. Ketika ini kerja-kerja overhaul sedang dijalankan dan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), juga difahamkan telah hadir ke lokasi bagi memantau udara serta tiada aliran bahan kimia ke longkang dan seterusnya ke sungai berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!