PRK Ayer Kuning: 2,600 pengundi India kategori putih, 300 masih Kelabu – MIC

Saravanan
Saravanan
A
A
A

TAPAH - Barisan Nasional (BN) menggunakan baki kurang 48 jam ini untuk memperhebatkan kempen mendekati lebih ramai pengundi dalam kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, pusingan terakhir kempen lebih tertumpu memujuk pengundi kelabu.

Menurut beliau, lebih 2,600 pengundi dalam kalangan masyarakat India telah dikenal pasti sebagai pengundi putih.

Mohamad Yusri menyantuni masyarakat pelbagai kaum dalam kempennya di DUN Ayer Kuning pada Khamis.
Mohamad Yusri menyantuni masyarakat pelbagai kaum dalam kempennya di DUN Ayer Kuning pada Khamis.

"Ada sekitar lebih 300 pengundi masih kelabu dan 700 yang lain tidak menyatakan pendirian. Kita dalam usaha untuk membawa pengundi luar yang telah dikenal pasti.

"Pengundi luar kebanyakan yang terdiri daripada ahli-ahli MIC yang mana kita sedang berhubung mereka dan saya percaya mereka akan balik memberi undi kepada BN," katanya ketika ditemui pemberita pada jamuan makan tengah hari bersama penduduk kaum India di Kampung Baru Air Kuning di sini pada Khamis.

Tambah Saravanan, beliau yakin jumlah kehadiran pengundi yang menyokong BN akan melebihi jangkaan sebelum ini.

Saravanan (kanan) bertemu dengan wartawan dan masyarakat pada jamuan makan tengah hari bersama penduduk kaum India di Kampung Baru Air Kuning
Saravanan (kanan) bertemu dengan wartawan dan masyarakat pada jamuan makan tengah hari bersama penduduk kaum India di Kampung Baru Air Kuning

"Saya yakin 100 peratus pasti BN akan menang. Segalanya bergantung kepada berapa ramai pengundi putih yang akan keluar mengundi,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Tapah itu berkata, sentimen dan isu yang dibawa pihak luar juga dilihat tidak memberi kesan besar dan menggugat sokongan mereka kepada BN.

"Tak ada apa-apa cabaran. Mereka tahu siapa yang membantu mereka selama ini sebab itu mereka tegas. Mereka nampak wakil daripada BN yang akan mempertahankan mereka

"Isu yang dibawa tidak begitu serius dan hanya memainkan sentimen luar termasuk rumah ibadat dan sebagainya, tiada isu tempatan," katanya.

Pada PRK DUN Ayer Kuning, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!