‘Info On Wheels’ inisiatif JaPen sebar risalah PRK, dasar kerajaan

Hanizatul Azwa (kanan) ketika menyantuni penduduk Orang Asli Kampung Sungai Kroh Dalam pada Khamis. (Gambar kecil: Hanizatul Azwa)
Hanizatul Azwa (kanan) ketika menyantuni penduduk Orang Asli Kampung Sungai Kroh Dalam pada Khamis. (Gambar kecil: Hanizatul Azwa)
A
A
A

TAPAH - Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) memulakan inisiatif ‘Info On Wheels’ sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dengan mengedarkan risalah kepada penduduk setempat.

Pembantu Penerangan Daerah Batang Padang, Hanizatul Azwa Mat Lazim berkata, pihaknya giat melaksanakan rondaan ke kawasan pedalaman, kampung Orang Asli dan pusat daerah mengundi (PDM) supaya pengundi DUN berkenaan memahami kaedah serta waktu sesuai untuk keluar mengundi pada 26 April nanti.

Menurutnya, ia merupakan usaha berterusan JaPen dalam memberikan hebahan mengenai pilihan raya kepada pengundi baharu di samping menyalurkan maklumat sahih tentang dasar kerajaan.

“Program ini adalah hebahan di saat-saat akhir agar orang Ayer Kuning tahu bila mereka perlu mengundi.

“Jadi, JaPen memperhebatkan lagi ‘Info On Wheels’ buat penduduk setempat terutamanya pengundi berdaftar yang baharu.

“Selain itu, kami juga beri galakan dan hebahan risalah mengenai dasar kerajaan contohnya penggunaan Jalur Gemilang yang betul atau kaedah menangani isu buli,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Dewan Merdeka Tapah di sini.

Artikel Berkaitan:

BN selaku parti penyandang mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Bekas guru dan pensyarah berusia 54 tahun itu dicabar Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, mewakili PN dan Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS, 39.

Hanizatul Azwa turut berharap inisiatif sedemikian membuka mata dan minda penduduk Ayer Kuning untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam tempoh berbaki dua hari lagi.

“Saya harap melalui hebahan yang dibuat pasukan JaPen, masyarakat Ayer Kuning terutamanya empat kampung Orang asli di sini ambil kesempatan buang undi.

“Untuk makluman, dalam tempoh dua minggu ini JaPen hanya buat ‘Info On Wheels’ berkaitan dasar kerajaan pada minggu pertama, tetapi memasuki minggu kedua lebih kerap menyantuni penduduk,” ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!