Korban masa tidur rahsia pelajar cemerlang SPM 2024

Maya Devi tidak menyangka usaha itu membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh 8A dalam SPM 2024.
Maya Devi tidak menyangka usaha itu membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh 8A dalam SPM 2024.
A
A
A

KAJANG - Sanggup korbankan masa tidur dan rehat rahsia kejayaan pelajar yang berjaya memperoleh semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent (M) Kajang, Maya Devi Aravinthan, 18, berkata, dia juga sering pulang lewat ke rumah selepas tamat waktu persekolahan demi menyiapkan kerja kursus dan mengulang kaji pelajaran.

Menurutnya, dia tidak menyangka usaha itu membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh 8A dalam SPM.

“Saya banyak korbankan masa untuk belajar, siapkan kerja kursus dan ke kelas tuisyen. Setiap hari jam 6 pagi saya sudah keluar untuk pergi sekolah dan selepas itu saya akan tinggal di sekolah untuk belajar termasuk waktu cuti hujung minggu.

“Sejujurnya, ini sangat memenatkan kerana saya ada jadual tidur yang teruk, tetapi saya paksa juga diri kerana sebelum ini saya sering mendapat C dalam beberapa subjek seperti Matematik.

“Akhirnya, usaha saya membuahkan hasil, saya ingin mengejar impian untuk menjadi seorang peguam satu hari nanti,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan slip keputusan SPM 2024 di SMK Convent (M) Kajang, di sini pada Khamis.

Nurin Zahrra Hilmy yang memperoleh 9A berhasrat menyambung pengajian dalam bidang perubatan di UM.
Nurin Zahrra Hilmy yang memperoleh 9A berhasrat menyambung pengajian dalam bidang perubatan di UM.

Dalam pada itu, seorang lagi pelajar, Nurin Zahrra Hilmy Amirul Hilmy, 18, berkata, dia percaya bahawa doa, disiplin dan sokongan daripada guru serta ibu bapa menjadi kunci utama kejayaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, keputusan 9A dalam SPM itu menjadi titik permulaan buat dirinya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan bagi mengejar cita-cita sebagai seorang doktor.

“Alhamdulillah, keputusan ini seperti apa yang saya harapkan. Apa yang saya buat, siapkan segala tugasan yang diberi, hormat guru dan juga ibu bapa selain sentiasa mengulang kaji pelajar.

“Sejujurnya, waktu tidur saya tidak teratur yang mana saya belajar sehingga jam 3 pagi setiap hari dan saya tahu ia tidak sihat tetapi saya ingin capai apa yang saya mahu.

“Saya harap dapat masuk ke Universiti Malaya (UM) dan belajar bidang perubatan, jadi saya rasa ini mungkin permulaan untuk saya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!