Johor catat peningkatan GPN, 41 calon peroleh semua A+

Mohd Hanafi (tengah) memegang rekod pencapaian SPM 2024 bagi Johor pada sidang akhbar di Pejabat Pendidikan Negeri Johor pada Khamis.
Mohd Hanafi (tengah) memegang rekod pencapaian SPM 2024 bagi Johor pada sidang akhbar di Pejabat Pendidikan Negeri Johor pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bagi Johor mencatat peningkatan apabila indeks Gred Purata Negeri (GPN) menunjukkan angka 4.36 berbanding 4.48 pada tahun 2023.

Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Hanafi Samad berkata, peningkatan sebanyak 0.12 mata itu menjadikan pencapaian kali ini sebagai yang terbaik dalam tempoh lima tahun, bermula dari 2020 hingga 2024.

Menurut beliau, GPN Johor bukan sahaja meningkat berbanding tahun sebelumnya, malah turut mengatasi purata nasional yang kekal pada 4.49 mata mata bagi 2024.

"Secara keseluruhan seramai 41 calon SPM 2024 di negeri itu memperoleh pencapaian cemerlang A+ dalam semua mata pelajaran, berbanding 20 calon pada 2023.

"Selain itu, seramai 1,513 calon SPM berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 1,247 calon pada 2023," katanya pada sidang akhbar di Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) di sini pada Khamis.

Mohd Hanafi berkata seramai 168 Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) telah menduduki peperiksaan SPM 2024, yang mana 16 calon mendapat keputusan yang cemerlang iaitu 8A (4 orang), 7A (4 orang), 6A (8 orang).

"Berdasarkan data ketidakhadiran SPM tahun 2024, berlaku penguncupan pada tahun 2023, seramai 901 orang calon tidak hadir.

"Sementara itu pada 2024 telah berkurang kepada seramai 556 orang calon," ujarnya.

Menurut beliau, bagi prestasi sekolah pula, berlaku peningkatan dalam peratusan 100 peratus layak mendapat sijil bagi sekolah bandar dan luar bandar iaitu sebanyak 81 buah sekolah pada SPM 2024 berbanding 75 buah sekolah pada SPM 2023.

Artikel Berkaitan:

"Bagi sekolah menengah harian, sebanyak 41 buah sekolah mencapai 100 peratus layak mendapat sijil, sekolah menengah agama (20 buah), sekolah menengah kebangsaan agama (lima buah) dan sekolah Felda (lapan buah)," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!