Langkah tepat tukar aliran, peroleh semua A SPM

SEREMBAN – Minat dalam bidang Sains, namun keputusan kurang memberangsangkan sepanjang peperiksaan bulanan menyebabkan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V mengambil keputusan menukar kelas ke aliran Ekonomi dan Akaun.
Itu merupakan keputusan tepat dibuat P Pravieen, 18, selepas memperoleh 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada Khamis.
Anak tunggal itu memaklumkan bahawa dia menukar aliran ketika berada di Tingkatan 4 selepas mendapati dirinya tidak dapat mengikuti subjek sains sepenuhnya.
“Saya tukar kelas pada pertengahan Julai. Saya lihat keputusan peperiksaan tidak terlalu teruk, tapi saya fikir sampai bila saya nak paksa diri untuk dapat keputusan sekadar lulus saja.
“Selepas fikir secara mendalam dan mendapatkan nasihat ibu bapa, saya minta bantuan guru kelas dan guru hal ehwal akademik untuk menukar kelas,” katanya ketika ditemui di pekarangan sekolah selepas mengambil keputusan SPM.
Katanya, walaupun agak lewat menukar kelas, namun hasil usaha gigih menguasai semua subjek baharu dalam tempoh singkat nyata membuahkan hasil.
“Sebab itu saya sangat menghormati guru yang banyak memberi tunjuk ajar tanpa perlu menghadiri kelas tambahan.
“Saya berterima kasih kepada guru. Tanpa bantuan mereka, tidak mungkin saya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM tahun ini,” katanya yang bercadang melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan.

Seorang lagi pelajar sekolah sama, Nur Aminah Hessa Mohd Ashik, 18, berkata bukan mudah untuk memperoleh keputusan cemerlang apabila terpaksa mengorbankan masa tidur serta waktu bersama keluarga demi fokus kepada SPM.
“Tidak mudah nak dapat keputusan cemerlang. Saya asingkan diri daripada telefon dan kurangkan aktiviti bersama keluarga.
“Biasanya saya akan tidur awal pada jam 9 malam dan bangun seawal jam 3 pagi untuk ulang kaji. Pada masa sama, saya turut amalkan solat hajat dan tahajud,” katanya.
Nur Aminah menganggap keputusan 7A dan 1A yang diperolehinya sebagai hadiah buat guru yang bertungkus-lumus membantu calon membuat persediaan menghadapi SPM.
“Sebenarnya, sejak semalam saya reda jika tak mencapai keputusan diinginkan sebab ketika peperiksaan percubaan, saya hanya memperoleh B dalam Matematik Tambahan. Tapi Alhamdulillah, saya capai sasaran ditetapkan.

“Saya bercadang menyambung pengajian dalam bidang Fizik dan perubatan serta bercita-cita menjadi penyelidik di luar negara,” ujarnya.
Sementara itu, anak bongsu daripada lima beradik, Kauthar Ariffin, 18, berkata keputusan cemerlang SPM 2024 diperolehnya membuka laluan untuk meneruskan jejak langkah kakak dan abangnya melanjutkan pengajian ke universiti.
“Saya tidak mengambil kelas tambahan. Saya hanya guna tips seperti menghormati guru, hadir ke sekolah setiap hari dan tidak ponteng supaya tak tercicir dalam pembelajaran.
“Insha-ALLAH, jika saya dapat biasiswa, saya bercadang menyambung pengajian dalam bidang perakaunan kerana mahu ikut jejak langkah kakak yang ambil jurusan sama,” katanya yang merupakan anak kepada pasangan doktor dan pensyarah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

