Kejam atau tidak hukuman mati ke atas pesalah rasuah?

SEORANG Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah mencadangkan agar Malaysia mengambil pendekatan lebih serius terhadap isu rasuah dengan menjatuhkan hukuman mati kepada mereka yang didapati bersalah.
Menurut ADUN Bugaya Jamil Hamzah, jenayah rasuah merupakan barah negara yang merosakkan sistem pentadbiran, ekonomi dan kepercayaan rakyat menjadikan hukuman keras perlu dilaksanakan sebagai langkah pencegahan.
Walaupun cadangan itu disuarakan atas dasar cinta terhadap negara, namun telah mengundang pelbagai reaksi bercampur-baur dalam kalangan masyarakat.
Persoalannya kini adakah hukuman mati benar-benar jawapan muktamad untuk membanteras rasuah atau sekadar reaksi emosional terhadap isu yang telah lama membarah.
Sokong
Sudah tiba masa kenakan hukuman berat
Sudah tiba masanya Malaysia mengambil langkah proaktif dalam memerangi jenayah rasuah dengan melaksanakan hukuman lebih keras ke atas pesalah yang sudah terbukti mengkhianati amanah.
Isu ini bukan sekadar soal mencuri wang negara tetapi impaknya turut merosakkan sistem keadilan dan menyuburkan budaya tamak dalam pentadbiran.
Contohnya dalam kes hukuman mati terhadap pesalah yang didapati melakukan kesalahan membunuh, ia dilihat dapat menghalang daripada jenayah ini daripada terus berleluasa.
Ini kerana, saya merasakan pendekatan sedia ada masih belum cukup untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan mereka yang berniat melakukan rasuah terutama melibatkan jumlah wang besar.
Hukuman dan denda ketika ini tidak mampu beri kesan mendalam jika dibandingkan kerugian besar ditanggung akibat rasuah.
Hukuman ringan juga kadangkala dilihat sebagai ‘lesen’ untuk terus menyalahgunakan kuasa kerana pesalah tahu risiko diambil terlalu kecil berbanding ganjaran yang bakal diperoleh.
Pelaksanaan hukuman mati ini walaupun terlihat keras tetapi perlu difahami sebagai usaha menyelamatkan masa depan negara.
- Pelajar lepasan ijazah, Muhammad Hafizzi Azmi, 23
Hukuman berat tanam rasa takut buat jenayah
Hukuman berat seperti hukuman mati terhadap pesalah rasuah mampu menanam rasa gentar dan takut dalam kalangan mereka yang berniat untuk terlibat dalam jenayah ini.
Ketegasan untuk mencadangkan pelaksanaan undang-undang ini akan memberi mesej jelas bahawa tiada ruang untuk kompromi terhadap pengkhianat amanah rakyat dan negara.
Sekiranya negara lain seperti China berani mengambil pendekatan tegas terhadap pelaku rasuah sehingga berjaya menurunkan kadar jenayah ini secara signifikan, maka tidak mustahil Malaysia juga mampu melakukan hal sama.
Meskipun ada segelintir pihak yang mendakwa hukuman ini sebagai kejam atau melanggar hak asasi manusia, sebenarnya perlu difahami dalam konteks lebih luas iaitu hukuman sebegini perlu dilakukan sebagai langkah terakhir untuk menyelamatkan masa depan negara daripada terus diracuni gejala rasuah.
Hukuman berat harus dilihat sebagai alat pembaharuan bukan semata-mata satu bentuk balasan. Lebih lama kita bertolak-ansur, maka lebih lama lagi jenayah ini akan terus berlaku.
Justeru, tindakan tegas seperti hukuman mati perlu dijadikan sebagai pertimbangan serius supaya Malaysia tidak terus hanyut dalam kitaran salah guna kuasa yang tiada kesudahan.
Pencipta kandungan media sosial, Siti Qhalimah Ahmad Nasri, 25
Bangkang
Siasatan lambat jadi punca, bukan hukuman berat
Pada pandangan saya, siasatan yang terlalu perlahan antara punca utama mengapa rasuah masih berleluasa, bukannya disebabkan hukuman tidak cukup berat.
Kelewatan dalam proses siasatan menyebabkan banyak kes tertangguh hingga terjadinya bukti hilang atau saksi enggan tampil memberi keterangan sekali gus membuka ruang kepada pelaku untuk terus bebas tanpa dikenakan tindakan sewajarnya.
Walaupun hukuman termaktub dalam undang-undang bersifat keras namun ia tetap tidak memberi kesan kerana proses untuk menjatuhkan hukuman itu sendiri dirasakan terlalu lambat.
Dalam kes berprofil tinggi misalnya, kita melihat individu yang dituduh melakukan rasuah masih bebas hidup mewah dan tidak diheret ke muka pengadilan dalam tempoh sepatutnya.
Situasi ini boleh menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada sistem keadilan dan lebih membimbangkan ia memberi isyarat undang-undang negara tidak serius dalam menjatuhkan hukuman kepada pesalah.
Jika dilihat tidak semua negara berjaya membendung rasuah dengan melaksanakan hukuman mati.
Masih terdapat juga negara lebih menumpukan kepada aspek ketelusan dalam siasatan dan pendakwaan yang cepat. Pendekatan seperti ini terbukti lebih berkesan dalam jangka masa panjang.
- Pekerja swasta, Muhammad Alief Iqmal Abdul Hadi, 26
Bertentangan reformasi perundangan negara
Cadangan menjatuhkan hukuman mati bagi kesalahan rasuah dianggap sebagai langkah ke belakang yang bertentangan dengan hala tuju pembaharuan undang-undang negara.
Ia boleh mencetuskan persoalan sama ada negara benar-benar konsisten dalam agenda reformasi perundangan yang inklusif dan berperikemanusiaan.
Tidak dinafikan, rasuah memang satu jenayah serius yang memberi kesan besar kepada rakyat dan negara namun penyelesaiannya bukan semata-mata dengan memperkenalkan hukuman keras.
Sebaliknya, negara perlu mengukuhkan sistem pencegahan, siasatan, pendakwaan dan penguatkuasaan.
Lebih membimbangkan, pelaksanaan hukuman mati ini berisiko disalah guna jika tidak disokong dengan sistem kehakiman yang benar-benar bebas, telus dan tidak dipengaruhi tekanan politik.
Tambahan pula, Malaysia kini berada di landasan tepat ke arah reformasi sistem keadilan jenayah khususnya melalui pemansuhan hukuman mati mandatori.
Jadi, langkah ini selaras dengan usaha mempertingkatkan nilai hak asasi manusia dan memberikan ruang kepada budi bicara mahkamah untuk menentukan hukuman berdasarkan keadaan sebenar sesuatu kes.
Sebab itu setiap cadangan pelaksanaan undang-undang baharu mestilah dipertimbangkan dari sudut emosi dan ketegasan demi membanteras jenayah ini secara menyeluruh.
- Barista, Wati Abdul Nasir, 26
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!