Malaysia, China perkukuh hubungan penerbangan melalui kerjasama 'hab berkembar'

Anthony Loke.
Anthony Loke.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan China hari ini bersetuju untuk memperkukuh hubungan penerbangan dengan pembangunan kerjasama 'hab berkembar' antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng, dalam usaha memastikan Laluan Sutera Udara ASEAN-China lebih lancar dan cekap.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerjasama itu selaras dengan kepentingan bersama kedua-dua negara dan dijangka meningkatkan kapasiti logistik udara serantau dan memudahkan hubungan ekonomi yang lebih erat.

"Kedua-dua pihak komited terhadap kerjasama penerbangan komprehensif dan akan memperkukuh pertukaran teknikal kepakaran penerbangan awam, meningkatkan kerjasama logistik penerbangan antara KLIA dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng, untuk merealisasikan visi bersama terhadap Laluan Sutera Udara antara ASEAN dengan China yang lancar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anthony berkata, bagi memastikan pelaksanaan inisiatif ini berjalan lancar, kedua-dua pihak bersetuju menubuhkan satu mekanisme kerja khusus dan merancang untuk menganjurkan forum peringkat tinggi yang menumpukan kepada kerjasama logistik udara, menghimpunkan kerajaan dan pihak berkepentingan industri untuk meneroka kerjasama praktikal.

Terdahulu, Anthony menerima kunjungan hormat daripada Naib Gabenor Wilayah Henan, Sun Shougang dan delegasi di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Delegasi berkenaan turut disertai beberapa pakar penerbangan dari Wilayah Henan, yang mempunyai populasi hampir 100 juta, tiga kali ganda saiz Malaysia dan memiliki kekuatan ekonomi dan potensi dalam membangunkan hab penerbangan.

Kunjungan Naib Gabenor itu dibuat selepas lawatan negara oleh Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, memberikan peluang tepat pada masanya kepada kedua-dua negara untuk mengikuti bidang utama yang digariskan dalam Kenyataan Bersama Malaysia-China baru-baru ini.

Anthony berkata, Malaysia mengalu-alukan penglibatan dan kerjasama lebih meluas dengan wilayah dan bandar di China, khususnya seperti Henan, yang memiliki keupayaan ekonomi yang kukuh dan kedudukan strategik dalam bidang utama seperti pengangkutan, logistik dan kesalinghubungan serantau.

"Kami menantikan pembinaan model baharu yang saling menguntungkan, khususnya dalam suasana ketidaktentuan perdagangan global yang semakin meningkat, kedua-dua pihak menyatakan keyakinan tinggi terhadap kemajuan berterusan hubungan Malaysia-China," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!