RM1 bilion bukan pampasan kekalkan tanah sawah - Sanusi

Muhammad Sanusi.
Muhammad Sanusi.
A
A
A

ALOR SETAR - Peruntukan RM1 bilion yang diumumkan Perdana Menteri untuk sektor tanaman padi di negeri ini bukan pampasan kepada kerajaan negeri atas pengorbanan mengekalkan kawasan jelapang padi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dana tersebut adalah untuk pembangunan infrastruktur bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi dan tidak dinikmati secara langsung oleh kerajaan negeri, sebaliknya disalurkan terus kepada sektor pertanian.

Menurutnya, tuntutan Kedah sebanyak RM200 juta setahun kekal seperti dikemukakan sebelum ini, sebagai insentif khas bagi mengekalkan kawasan sawah padi.

“Peruntukan RM1 bilion itu merangkumi projek seperti pembaikan sistem pengairan dan empangan Pedu untuk tingkatkan produktiviti padi.

“Kami berterima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri, namun ini bukan pampasan atas hasil yang hilang akibat mengekalkan kawasan sawah padi,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, keperluan RM200 juta itu adalah untuk menguruskan negeri dengan pertambahan rakyatnya serta keperluan pengurusan pentadbiran.

“Kita cakap isu berkaitan cukai tanah sawah padi, Itulah hasil negeri selain sumber air mentah yang itu pun sebahagian sahaja sekarang ini. Untuk air terawat bukan lagi sumber kerajaan negeri setelah diswastakan.

“Kalau tiada pertambahan hasil nak ambil mana kerana sumber terhad,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Muhammad Sanusi tegaskan akan terus menuntut bayaran RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan sebagai insentif khas atas pengorbanan negeri itu mengekalkan kawasan jelapang padi sekali gus menjamin bekalan beras negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam reaksi balasnya menegaskan kerajaan sudah meluluskan RM1 bilion untuk membantu sektor padi di Kedah yang diberi secara berterusan termasuk sebagai insentif khas untuk negeri itu mengekalkan kawasan jelapang padi.

Muhammad Sanusi sebaliknya tegaskan, nilai cukai tanah sawah padi di Kedah adalah antara paling rendah, dan negeri itu kehilangan potensi hasil lebih tinggi kerana terikat dengan dasar mengekalkan penggunaan tanah pertanian.

Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri tidak menolak sepenuhnya pengiraan RM41 juta setahun yang dibuat Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PlanMalaysia) melalui Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN), namun hanya membentangkan rasional nilai tuntutan.

“Kami hanya kemukakan cadangan balas berdasarkan perkiraan dan mekanisme nilai-nilai KAGUMN tapi kita kekalkan tuntutan RM200 juta kerana itu nilai kehilangan yang kita tanggung sejak sekian lama.

“Saya tak pasti sama ada RM41 juta itu dikekalkan atau tidak. Sama ada tambah atau kurang namun tuntutan tetap diteruskan,” ujarnya.


Teroka REE: Kedah sedia terima teknologi China

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah menyatakan kesediaan menerima teknologi pemprosesan unsur nadir bumi (REE) daripada China dan mengalu-alukan usaha pemindahan teknologi ke negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah juga bersedia menawarkan kepada syarikat terlibat untuk pembinaan kilang pemprosesan REE di negeri ini.

Menurutnya, pendekatan sedemikian diyakini mampu membawa limpahan ekonomi kepada rakyat selain merancakkan pembangunan industri hiliran yang lebih mampan.

“Sekiranya teknologi yang dibawa adalah baik dan selamat, kita alu-alukan. Jika saintis dari China datang ke sini, membuka kilang dan memproses bahan mentah itu di negara ini, kita tak perlu lagi mengeksport bahan mentah ke luar negara.

“Apabila diproses dalam negara, peluang pekerjaan dapat diwujudkan, pemindahan teknologi berlaku dan manfaat ekonomi yang lebih besar kepada rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.

Muhammad Sanusi bagaimanapun kesal kerana sehingga kini tiada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan secara khusus oleh kementerian berkaitan penerokaan industri REE.

“Kita masih menunggu SOP tersebut, sudah berkali-kali sesi libat urus diadakan dan saya sendiri sudah cadangkan agar batal polisi 12 yang tidak membenarkan melombong dalam hutan simpan, kerana REE kita banyak terdapat di situ,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi mengulas mengenai khabar angin yang menyatakan kerajaan Persekutuan bercadang menubuhkan sebuah entiti khas seperti PETRONAS bagi mengawal selia sumber REE.

“Saya harap perkara ini tidak benar kerana tanah dan hasil galian adalah bidang kuasa kerajaan negeri sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya di bawah Jadual Kesembilan.

“Walaupun terdapat Majlis Tanah Negara dan pelbagai majlis lain, keputusan masih perlu selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada. Ini antara cabaran yang sering dihadapi oleh kerajaan negeri,” jelasnya.

Muhammad Sanusi tegaskan, negeri-negeri seharusnya diberikan ruang dan kuasa sewajarnya untuk mengurus hasil bumi masing-masing bagi menjana pendapatan serta memenuhi keperluan pentadbiran negeri.

“Janganlah sampai menyekat peluang negeri untuk jana hasil sendiri. Ini adalah salah satu peluang yang boleh dimanfaatkan sebagai salah satu cara menambah hasil dan menampung keperluan pentadbiran negeri.

“Kalau disekat, ia seolah-olah menganiaya negeri-negeri. Tapi saya tekankan, ini semua cuma khabar angin. Saya harap ia tidak benar,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!