Sultan Kedah mahu tanaman padi lima kali dalam dua tahun dijayakan

Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin pada majlis istiadat perasmian persidangan mesyuarat pertama penggal ketiga, DUN Kedah ke-15 di Wisma Darul Aman pada Ahad.
Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin pada majlis istiadat perasmian persidangan mesyuarat pertama penggal ketiga, DUN Kedah ke-15 di Wisma Darul Aman pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR – Pelaksanaan inisiatif penanaman padi sebanyak lima kali dalam tempoh dua tahun di kawasan jelapang padi perlu dijayakan bagi memastikan keterjaminan bekalan beras negara.

Sultan Kedah, Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar kawasan luar jelapang padi turut diberikan perhatian serius bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi negara.

Baginda menyarankan agar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) meningkatkan usaha melaksanakan kajian berterusan serta memanfaatkan teknologi pertanian moden, khususnya dalam penghasilan benih padi berkualiti dan penggunaan jentera moden yang cekap.

“Penghasilan padi juga bergantung kepada sumber air dari kawasan hutan tadahan air yang turut menyokong keperluan domestik dan industri.

“Kerajaan perlu tegas dalam melindungi kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda sebagai jaminan kelestarian sumber air yang mencukupi dan selamat, di samping menjamin pengekalan pelbagai spesies flora dan fauna,” titah baginda.

Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-15 di Wisma Darul Aman pada Ahad.

Baginda turut berharap semua wakil rakyat dan pihak berkepentingan lebih proaktif dalam menjayakan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025) dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Beta menggesa agar produk pelancongan sama ada di tanah besar mahupun di Pulau Langkawi ditambah baik dan dinaik taraf, selain mengenal pasti produk-produk pelancongan baharu untuk diperkenalkan.

“Jaringan perhubungan dan pengangkutan juga harus diperkasakan, terutamanya perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi,” titah baginda lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, baginda turut menekankan kepentingan mengetengahkan Tamadun Kedah Tua sebagai produk pelancongan yang mempunyai nilai peradaban tinggi, khususnya dari segi kemajuan teknologi, kebudayaan dan perdagangan antarabangsa yang telah menyumbang kepada kegemilangan warisan bertunjangkan agama Islam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!