Pelancong lari tinggalkan Kashmir selepas serangan dahsyat

PAHALGAM - Kawasan pergunungan Pahalgam yang dikenali sebagai 'Switzerland Kecil' di Kashmir bertukar suram selepas insiden serangan maut yang meragut 26 nyawa pada Selasa.
Sehari selepas kejadian, Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Omar Abdullah menyifatkan situasi sebagai 'penghijrahan besar-besaran' apabila pelancong mula berpusu-pusu meninggalkan pusat peranginan popular itu.
Kashmir, yang menerima lebih 3.5 juta pelawat pada 2024, kebanyakannya pelancong domestik, sebelum ini dijadikan contoh oleh New Delhi sebagai bukti keamanan kembali pulih selepas tindakan keras pihak berkuasa beberapa tahun lalu.
Namun, serangan yang disifatkan paling dahsyat ke atas orang awam sejak 2000 itu menimbulkan semula ketegangan antara India dan Pakistan.
Susulan serangan berdarah itu, pasukan tentera India melancarkan operasi besar-besaran memburu penyerang.
Kawasan serangan kini dipenuhi anggota tentera lengkap bersenjata dan helikopter tentera udara berlegar di udara.
“Tragedi ini akan lumpuhkan sektor pelancongan di Kashmir apabila ramai pelanggan batalkan tempahan serta-merta,” kata Abdul Salam, pengurus Hotel Mount View di Pahalgam.
Sejak 1989, puak pemisah di wilayah majoriti Muslim itu melancarkan pemberontakan menuntut kemerdekaan atau penyatuan dengan Pakistan.
India menempatkan kira-kira 500,000 anggota tenteranya di Kashmir.
Susulan kejadian, Pengarah Jeneral Penerbangan Awam India, Faiz Ahmed Kidwai menggesa syarikat penerbangan menambah jumlah penerbangan bagi membantu pelancong keluar dari kawasan terjejas.
Syarikat Air India turut menyediakan penerbangan tambahan mulai Rabu.
Seorang pelancong dari Mumbai, Paras Sawla berkata, orang awam Kashmir tetap memberikan bantuan walaupun situasi menakutkan.
“Kami tak takut dengan penduduk tempatan. Mereka sangat mesra dan banyak membantu,” katanya.
New Delhi terus menyalahkan Pakistan berhubung insiden keganasan itu, namun Islamabad menafikan tuduhan tersebut dan menyokong hak penentuan nasib rakyat Kashmir. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
