Pencerobohan kawasan jajaran laluan paip gas dikesan di Pendang

Mansor Zakaria ketika sidang DUN di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Mansor Zakaria ketika sidang DUN di Wisma Darul Aman pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri mengesan berlaku pencerobohan di kawasan jajaran laluan paip gas milik Petronas di dua kawasan di daerah Pendang.

Exco Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria berkata, kejadian itu dikesan oleh Majlis Daerah Pendang dan sudah dimaklumkan kepada pihak Petronas.

Menurutnya, segelintir individu didakwa menceroboh kawasan tersebut bertujuan mengorek dan mengeluarkan tanah merah untuk tapak rumah dan sebagainya.

"Saya ada bangkitkan perkara ini dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), kejadian pencerobohan ini berlaku berdekatan Kampung Sungai Jagung dan Kampung Padang Pusing dan berlaku di kawasan ladang tanah kosong dan dekat rizab jalan.

"Di rizab jalan ada beberapa buah rumah, ada orang pergi korek tanah di kawasan itu, walaupun tak dalam sebab paip gas itu ditanam kedalaman lebih 21 kaki (6.4 meter),” katanya ketika ditemui selepas sidang DUN di Wisma Darul Aman, di sini pada Rabu.

Mansor berkata, pihaknya telah mengarahkan Utiliti Infra Darul Aman (UiDA) untuk bekerjasama dengan Petronas melakukan pemetaan semula dengan memasukkan kesemua jajaran paip gas Petronas dalam peta.

"Kita bimbang lama-lama ceroboh tanah itu semakin dalam dan boleh mengundang bahaya, kita tak mahu insiden di Putra Height berulang di Kedah,” ujarnya.

Mansor berkata, pencerobohan itu kemungkinan sudah berlaku dua hingga tahun lalu.

"Kita sudah menutup kawasan itu sama ada letak tali atau tanda supaya tiada lagi pencerobohan berlaku sebab ini bidang kuasa Petronas.

Artikel Berkaitan:

"Selepas ini jika ada pembangunan pada masa depan atau untuk kebenaran merancang, kita boleh maklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bahawa kawasan itu mempunyai paip gas, supaya tiada pembangunan di kawasan berkenaan," jelasnya.

Sebelum itu dalam persidangan DUN, Mansor memaklumkan, perbincangan dengan semua pihak termasuk UIDA untuk membuat pemetaan semula laluan paip gas seluruh Kedah penting supaya tidak berlaku pertindihan dengan pembangunan masa depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!