'Prestasi, keupayaan pemimpin lebih penting berbanding tempoh masa tadbir' - Sanusi

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan pelantikan Menteri Besar tidak tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri masing-masing.
Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai kuasa autonomi dan tidak tertakluk secara automatik kepada sebarang akta atau keputusan yang dibuat di peringkat Persekutuan.
Menurutnya, jawatan Menteri Besar Kedah dilantik berdasarkan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah dan tiada kaitan secara langsung antara kuasa negeri dan Persekutuan dalam hal tersebut.
“Menteri Besar Kedah dilantik berlandaskan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah bukan Perlembagaan Persekutuan.
"Prestasi dan keupayaan seseorang pemimpin lebih penting berbanding tempoh masa,” katanya ketika sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ditangguhkan pada Rabu.
Muhammad Sanusi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang dilaporkan berkata, kajian bagi mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun berkemungkinan turut membabitkan jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar.
Pada Isnin, Azalina berkata, cadangan tersebut serta penggubalan Akta Pendanaan Politik masih di peringkat kajian dan libat urus bersama parti-parti politik,
Muhammad Sanusi berkata, sekiranya Kerajaan Persekutuan mahu mana-mana akta diterima pakai oleh kerajaan negeri, ia perlu dibawa ke sidang DUN untuk diluluskan terlebih dahulu.
“Kalau Perdana Menteri yang ada sekarang dalam setahun pun sudah merapu, tak perlu tunggu dua penggal, lebih baik undur awal.
"Ia bukan soal tempoh, tetapi prestasi. Kalau Perdana Menteri bagus, tapi kita hadkan dua penggal, kita yang rugi.
"Kalau tak bagus, tapi kita benarkan dua penggal juga rugi. Jadi, kenapa perlu hadkan?
"Saya sendiri pun kalau rasa tak mampu tadbir lagi, saya akan undur sendiri. Tak payah lah buat undang-undang, ia bergantung kepada pemimpin itu,” ulasnya.
Menurutnya lagi, tindakan mengehadkan penggal mungkin berpunca daripada perebutan kuasa dalam kalangan parti tertentu, namun tidak wajar dikenakan secara menyeluruh kepada semua pihak.
“Saya tak tahu tujuan untuk hadkan tempoh jawatan, mungkin perebutan kuasa. Bagi saya, tak ada berebut jawatan.
"Kalau parti mereka berebut jawatan, buat mereka sudahlah, jangan rangkum semua,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

