Lantikan baki 109 ahli majlis PBT Pahang dimuktamad April ini

Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff
Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff
A
A
A

KUANTAN - Pelantikan baki 109 ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini telah dimuktamad April ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, proses pelantikan ahli-ahli majlis itu perlu melalui beberapa proses termasuk tapisan keselamatan calon sama ada memiliki rekod jenayah lampau dan sebagainya.

Menurutnya, ia juga perlu kepada rundingan bersama pemegang taruh bagi memastikan ahli-ahli majlis yang dilantik dapat berfungsi sebaiknya dan menyokong segala fungsi-fungsi utama di semua 11 PBT di negeri Pahang

"Sebelum ahli majlis ini berkhidmat di PBT, mereka perlu menjalani kursus yang dilaksanakan bagi memberkasakan lagi peranan mereka.

"Setakat ini, 194 ahli majlis telah dilantik di negeri Pahang bagi fasa pertama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan ADUN Ketari, Su Keong Siong (DAP) pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Mohammad Fakhruddin berkata, ahli majlis yang dilantik perlu mainkan peranan bagi membantu meningkatkan kecemerlangan PBT dan memperkasakan lagi bandar-bandar di negeri ini.

Menjawap soalan tambahan ADUN Ketari tentang cadangan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi ahli majlis dilantik, beliau berkata, semua yang dilaksanakan dalam pentadbiraan kerajaan negeri menetapkan kayu ukur bagi setiap kretaria yang ditetapkan.

"Ia termasuk KPI bagi setiap PBT supaya perkhidmatan diberikan mencapai pencapaian terbaik untuk negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, empat bandar di negeri ini meraih pencapaian membanggakan pada 2023 dan tahun lalu apabila dinobatkan antara bandar paling bahagia.

"Daripada 155 bandar di negara ini, empat bandar terdiri Temerloh, Cameron Highlands, Jerantut dan Lipis telah dipilih dan ia sesuatu pencapaian membanggakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!