Sultan Nazrin tegur kelemahan pihak berkuasa
IPOH – [DIKEMAS KINI] Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegur kelemahan pihak berkuasa dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kegiatan pemprosesan sisa buangan elektronik (e-waste) secara haram di negara ini.
Baginda bertitah, operasi haram melibatkan e-waste kini semakin berleluasa sehingga menjadikan Malaysia antara destinasi utama lambakan sisa tersebut di peringkat global.
"Pada 15 Februari 2025, negeri Perak dikejutkan apabila barangan bernilai RM1.3 bilion disita melalui serbuan pihak berkuasa ke atas sebuah kilang memproses e-waste yang beroperasi secara haram di Sungai Siput.
"Insiden ini mengundang persoalan, bagaimana pelbagai pihak berkuasa boleh terlepas pandang tentang kewujudan sebuah kilang yang tersergam, boleh beroperasi secara haram di kawasan terbuka," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan rasmi Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Kelima Belas di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Sultan Nazrin menzahirkan kebimbangan terhadap modus operandi sindiket e-waste yang dikesan memalsukan dokumen dan mengisytiharkan kargo secara tidak tepat bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Titah baginda, kebanyakan premis pemprosesan e-waste menjalankan operasi tanpa kawalan sehingga mencetuskan pencemaran udara, tanah dan air.
“Lambakan e-waste perlu diberikan perhatian serius kerana e-waste mengandungi bahan toksik dan berbahaya.
"Sisa toksik yang tidak dilupuskan dengan kaedah yang betul dan selamat, berisiko mencemarkan alam sekitar, serta memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa membuka kilang e-waste tanpa permit adalah satu jenayah dan tindakan tegas perlu diambil terhadap pelaku yang hanya mementingkan keuntungan tanpa mempedulikan kesan kepada ekosistem.
Sehubungan itu, Sultan Nazrin menitahkan agar semua agensi penguat kuasa mempergiatkan pemantauan dan bertindak secara bersepadu, pantas serta tegas bagi membanteras kegiatan e-waste haram di negara ini.
________________________________________________________________________________________________________Hospital cerminan perpaduan rakyat - Sultan Nazrin
IPOH - Hospital bukan sahaja berperanan menyediakan rawatan perubatan, malah menjadi medan semula jadi yang menyemai semangat perpaduan rakyat Malaysia, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda bertitah, di sebalik fungsi tersuratnya, institusi kesihatan turut memainkan peranan tersirat dalam menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang agama, kaum, budaya, bahasa mahupun status sosial dan ekonomi.
“Belum pernah terdengar doktor di hospital yang enggan merawat pesakit kerana faktor berlainan agama atau kaum atau status sosial dan tidak pernah terdengar pesakit yang mempertikai darah yang mahu diserapkan ke dalam tubuhnya, sama ada diperoleh daripada darah penderma beragama Islam, Hindu, Kristian, Buddha atau si miskin.
“Apabila berlaku kematian dalam wad hospital, kesemua staf hospital, demikian juga rakan-rakan pesakit dalam wad berkaitan, sama-sama berasa hiba, malah ada yang turut menitiskan air mata, meski pesakit yang meninggal dunia memiliki latar belakang yang berlainan, malah terlalu baharu dikenali,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan rasmi Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Kelima Belas di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Baginda turut menekankan bahawa hospital ialah tempat yang menginsafkan manusia akan kelemahan diri serta menyedarkan bahawa nyawa bukan milik mutlak sesiapa.
Sehubungan itu, baginda menyarankan agar wad hospital dijadikan sebagai ‘bilik darjah’ yang mengajar semua pihak tentang erti ketuhanan, keinsanan, ihsan, empati dan perpaduan sejati yang lahir secara semula jadi tanpa mengira kedudukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


