Hilang sejak Ahad, Muhammad Aniq masih belum ditemui

Kawasan pencarian diperluaskan dengan menyusuri kira-kira 21 kilometer bermula dari muara Sungai Tuaran menggunakan bot penyelamat. Gambar kecil, Muhammad Aniq Faiz.
Kawasan pencarian diperluaskan dengan menyusuri kira-kira 21 kilometer bermula dari muara Sungai Tuaran menggunakan bot penyelamat. Gambar kecil, Muhammad Aniq Faiz.
A
A
A

TUARAN - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki autisme yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu, diperluaskan sehingga ke kawasan muara Sungai Tuaran pada Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pencarian dimulakan seawal jam 8.35 pagi melibatkan pelbagai agensi penyelamat termasuk bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Hari ini kawasan pencarian diperluaskan dengan menyusuri kira-kira 21 kilometer bermula dari muara Sungai Tuaran menggunakan bot penyelamat.

“Pencarian turut merangkumi kawasan darat dan sungai menggunakan kaedah ‘standard line double layer’,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Unit K9 antara digerakkan bagi mencari kanak-kanak autisme hilang di Tuaran sejak Ahad.
Unit K9 antara digerakkan bagi mencari kanak-kanak autisme hilang di Tuaran sejak Ahad.

Beliau berkata, operasi turut dibantu oleh Unit Anjing Pengesan (K9), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) serta Unit Dron bagi meningkatkan keberkesanan pencarian.

“Setakat ini, tiada petunjuk atau tanda keberadaan mangsa dan usaha pencarian masih diteruskan,” katanya.

Dalam kejadian yang dilaporkan pada Ahad lalu, Muhammad Aniq Faiz Muhammad Ashraf, 5, yang menghidap autisme, disedari hilang dari rumahnya di Kampung Bahagia II, Tamparuli, kira-kira jam 9 pagi.

Kehilangan kanak-kanak itu disedari ibu bapanya selepas mendapati dia tiada di dalam rumah dan hanya menemui anak patung miliknya di luar kediaman.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!