Kanak-kanak autisme hilang, hanya anak patung ditemui

Pencarian dilakukan di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang di Kampung Bahagia II, Tuaran.
Pencarian dilakukan di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang di Kampung Bahagia II, Tuaran.
A
A
A

TUARAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang menghidap autisme dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar rumah tanpa disedari ahli keluarganya dalam kejadian di Kampung Bahagia II, di sini pada Ahad.

Kehilangan mangsa hanya disedari apabila dia didapati tiada di rumah, manakala anak patung miliknya ditemui di luar kediaman tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian daripada polis pada jam 1.52 tengah hari.

Menurutnya, seramai 10 anggota bersama Unit Anjing Pengesan (K9) telah digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 11 kilometer dari BBP Tuaran.

"Menurut maklumat daripada polis Tamparuli, kanak-kanak autisme itu dipercayai hilang di belakang Pejabat Daerah Tamparuli.

"Ahli keluarga menyedari kehilangan mangsa selepas mendapati dia tiada di rumah dan hanya anak patung ditemui di luar rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, usaha pencarian dilakukan di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang, termasuk kawasan sejauh 300 meter dari lokasi terakhir dia dilihat.

"Mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari ditangguhkan pada jam 7 malam atas arahan pihak polis. Operasi akan disambung semula pada keesokan hari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, maklumat terkini berhubung usaha mencari dan menyelamat akan dikemas kini dari masa ke masa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!