Kerani bank rugi RM379,200 ditipu skim pelaburan tidak wujud

Wanita berusia 48 tahun mendakwa menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp pada 11 Februari daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai Alyssa.
Wanita berusia 48 tahun mendakwa menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp pada 11 Februari daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai Alyssa.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang kerani operasi bank kerugian sebanyak RM379,200 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan tidak wujud Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, wanita berusia 48 tahun itu mendakwa menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp pada 11 Februari daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai Alyssa.

Menurutnya, suspek telah mengajak mangsa untuk belajar membuat pelaburan dan menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

"Mangsa kemudian diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi yang dikenali sebagai ‘XGI Horizon Pro’ kononnya bagi melihat rekod pelaburannya.

"Tertarik dengan tawaran yang diberikan, mangsa membuat pelaburan awal berjumlah RM10,000 dan hanya dalam masa tiga jam, aplikasi berkenaan menunjukkan keuntungan pelaburan mencecah RM1.6 juta.

"Bagaimanapun untuk mengeluarkan keuntungan itu, mangsa diminta membayar pelbagai caj perkhidmatan," katanya menerusi kenyataan di sini pada Rabu.

Helmi berkata, disebabkan terpedaya dengan helah suspsek, mangsa telah melakukan sebanyak 18 transaksi ke enam akaun bank berbeza dari bulan Februari hingga pertengahan April.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada suaminya yang kemudiannya menyedarkan mangsa bahawa pelaburan seperti itu tidak wujud.

Artikel Berkaitan:

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebat dan denda,” katanya.

Dalam pada itu, Hilmi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan terlalu tinggi dalam masa singkat.

Orang ramai digalakkan untuk membuat semakan lanjut menerusi sumber rasmi seperti portal Semakmule CCID atau Alert List Bank Negara Malaysia bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!