[VIDEO] Lelaki Thailand direman kes liwat, cabul pelajar
MELAKA - Seorang lelaki warga Thailand direman tujuh hari bermula Rabu bagi membantu siasatan kes meliwat dan mencabul seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun tiga tahun lalu.
Perintah reman ke atas suspek berusia 28 tahun itu dikeluarkan Majistret Uthman Abd Ghani sehingga Selasa depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
Sumber berkata, perbuatan jijik suspek didakwa terbongkar selepas mangsa yang kini berusia 13 tahun menceritakan perbuatan jahat suspek kepada ibunya berusia 35 tahun ketika menghubungi wanita itu pada minggu lalu.
Menurutnya, mangsa secara tiba-tiba memberitahu mahu pulang dan menetap bersama wanita tersebut di Kuala Lumpur kerana mendakwa tidak sanggup terus menerus menjadi hamba liwat suspek yang juga guru agamanya sejak berusia 10 tahun.
Katanya, mangsa mendakwa, insiden pertama berlaku pada waktu malam sekitar bulan Ogos 2022 dalam sebuah kelas akademi al-Quran di Perak ketika mangsa mengikuti pengajian di sana.

"Mangsa juga telah dibawa tinggal bersama suspek di masjid di Bukit Rambai kononnya untuk meneruskan pengajian di masjid berkenaan tanpa pengetahuan ibunya sejak tahun lalu.
"Namun dalam tempoh itu tiada sebarang pengajian dilakukan dan mangsa terpaksa tinggal berdua dengan suspek di dalam sebuah bilik masjid tersebut kerana suspek bertugas sebagai imam di masjid itu," katanya.
Ujarnya, dalam bilik itu mangsa mendakwa sering menjadi mangsa pemuas nafsu songsang suspek sehingga kanak-kanak itu berasa trauma.
"Mangsa sebelum ini tidak berani menceritakan hal itu kepada sesiapa kerana suspek pernah mengugut mangsa sebelum diambil oleh ibunya untuk tinggal bersama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan laporan kes berkenaan selepas wanita terbabit membuat laporan polis pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!