Warga emas direman cabul anak jiran di rumah sampah

Suspek dibawa keluar dari mahkamah.
Suspek dibawa keluar dari mahkamah.
A
A
A

MELAKA – Warga emas berusia 62 tahun direman tujuh hari bermula Khamis kerana disyaki mencabul anak jirannya berusia 10 tahun di rumah sampah di sini pada Isnin lalu.

Perintah reman terhadap suspek sehingga Rabu ini dikeluarkan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, itu, mangsa merupakan seorang kanak-kanak perempuan sedang berjalan untuk membuang sampah di rumah sampah di sebuah pangsapuri di Tengkera.

Menurutnya, mangsa yang bersendirian kemudian menaiki tangga untuk pulang ke rumahnya lalu terserempak dengan warga emas berkenaan.

"Suspek yang tinggal di tingkat dua mengajak kanak-kanak itu menemaninya ke rumah sampah pangsapuri berkenaan.

"Difahamkan ketika di rumah sampah, suspek telah bertindak mencium pipi, memeluk dan menyelak baju mangsa dan mengajaknya untuk makan bersama namun kanak-kanak itu segera meninggalkan warga emas itu," katanya.

Tambahnya, mangsa yang terkejut bergegas ke pondok pengawal keselamatan pangsapuri berkenaan untuk mendapatkan pertolongan sebelum menceritakan kejadian itu kepada petugas di situ.

Ujarnya, pengawal keselamatan memaklumkan perkara itu kepada ibu mangsa berusia 45 tahun dan hasil siasatan polis mendapati terdapat rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan laporan tersebut dan penahanan suspek dilakukan selepas menerima laporan polis sehari selepas kejadian yang dibuat oleh ibu mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut terhadap suspek dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) AKSTK," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!