Gagal kawal emosi, nyawa boleh melayang

Kes memandu secara melulu sehingga berlaku perlanggaran dengan kenderaan lain atau orang awam terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini.
Ditambah pula dengan beberapa kejadian yang tular di media, ada pemandu yang melepaskan kemarahan mereka di jalan raya apabila berlaku kemalangan.
Tindakan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengancam keselamatan awam serta boleh meragut nyawa.Mungkin ada yang tidak mengetahui bahawa pemandu boleh didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda RM5,000 hingga RM10,000 selain boleh dipenjara maksimum 12 bulan.
Salah satu kes yang didakwa mengikut seksyen itu ialah pada 18 Disember 2023 membabitkan seorang pereka grafik berusia 22 tahun yang memandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger di Lebuhraya Besraya sebelum melanggar motosikal dinaiki empat sekeluarga.
Walaupun mangsa cedera ringan, namun pemandu terbabit dikenakan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Selain itu, satu kes tular yang dilaporkan media pada 3 Mac lalu mendapat ulasan pelbagai pihak, membabitkan insiden seorang pemandu trak tunda dan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Bandar Teknologi Kajang. Menerusi perkongsian video, kedua-dua pemandu itu dipercayai berselisih faham. Kemudian mangsa yang memandu trak tunda iaitu seorang lelaki berusia 42 tahun dilanggar sehingga cedera dan tidak mampu bergerak.
Susulan itu, pasangan suami isteri berusia 73 dan 65 tahun ditahan polis dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memandu secara gopoh.
Tidak kurang dengan kes seorang pemandu Proton Wira yang bertindak melanggar penunggang motosikal beberapa kali selepas ditegur kerana memotong tanpa memberi isyarat, di Seberang Perai Utara pada 6 Januari 2024. Suspek disiasat mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan.
Namun, kes yang paling menyayat hati ialah insiden melibatkan Allahyarham Syed Muhammad Danial Syed Syakir pada Ogos 2019. Pengurus bank itu maut selepas dilanggar di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bandar Baru Bangi selepas berlaku perlanggaran kecil dan pertengkaran.
Tertuduh didakwa membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan namun Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 Disember 2023 menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang mana hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya.
Kejadian seperti itu tidak lagi boleh dianggap sebagai isu lalu lintas semata-mata, sebaliknya wajar ditangani secara menyeluruh menerusi penguatkuasaan dan pendidikan.
Sebelum ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan, 90 peratus kemalangan berpunca daripada sikap tidak acuh pengguna jalan raya. Kajian turut mendapati tekanan dan emosi tidak stabil menjadi punca utama tingkah laku agresif ketika memandu.
Statistik JPJ juga menunjukkan bahawa pemandu muda terutamanya yang berusia bawah 30 tahun lebih cenderung untuk terlibat dalam kemalangan akibat pemanduan berbahaya.
Masyarakat sepatutnya mengawal emosi dan tidak menjadikan jalan raya sebagai medan balas dendam. Sikap sabar dan berhemah bukan sahaja mencerminkan keperibadian, malah mampu menyelamatkan nyawa.
Pemeriksaan kesihatan berkala dan kursus pemanduan berhemah juga dicadangkan sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan.
Jalan raya ialah ruang awam yang perlu dikongsi dengan penuh tanggungjawab kerana. Jika hilang sabar walaupun sesaat, ia boleh mengundang maut dan penyesalan seumur hidup.
*Noor Azlida Alimin ialah wartawan Meja Jenayah & Mahkamah Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!