[VIDEO] PRK Ayer Kuning: PN guna pelbagai cara kempen tarik pengundi

A
A
A

Kepelbagaian cara kempen digunakan dalam menarik sokongan pengundi sama ada kaedah konvensional atau terkini.

Itulah antara cara dilakukan jentera Perikatan Nasional (PN) termasuk mengekalkan kempen melalui ceramah yang dilihat tidak relevan.

Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, Saifullah Ahmad bersama calon PN, Abd Muhaimin Malek mengenai perkembangan kempen parti itu dan harapan beliau sendiri bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

-----------------------------------------

SINAR HARIAN: Selepas seminggu kempen ini, bagaimana anda melihat momentum sokongan pengundi di Ayer Kuning ini kepada PN?

ABD MUHAIMIN: Alhamdulillah, kita telah menyantuni bersama dengan jentera-jentera kita ke seluruh Unit Daerah Mengundi. Kita melihat ada momentum sedang meningkat, sokongan rakyat khasnya daripada pengundi muda, bukan Melayu terutamanya golongan Tionghua yang tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku ke atas mereka. Perkembangan positif sedang meningkat. Insya-ALLAH kita mengharapkan kemenangan.

SH: Apa cabaran utama atau cabaran terbesar yang dihadapi sepanjang kempen ini?

Kita berhadapan dengan isu-isu projek rakyat yang terbengkalai sepatutnya diselesaikan oleh wakil rakyat terdahulu daripada kerajaan. Tapi kita menerima isu-isu besar berkaitan dengan keselamatan dan sebagainya yang tak diselesaikan oleh orang-orang dulu ataupun kita panggil wakil-wakil rakyat sebelum ini. Ini satu cabaran yang besar bagi saya untuk menjadi pemudah cara kepada rakyat untuk selesaikan isu-isu mereka. Ini yang saya hadapi. Walaupun benda itu akan datang, kita sekarang sedang menerima aduan. Tapi ini satu cabaran dan cabaran-cabaran lain itu tidaklah begitu besar dan begitu berat sebab sebelum ini kita telah menyantuni rakyat. Jadi kita sudah biasa. Tak adalah cabaran yang besar sangat.

Artikel Berkaitan:

Abd Muhaimin (kanan) bertemu dengan masyarakat setempat sepanjang kempen PRK DUN Ayer Kuning.
Abd Muhaimin (kanan) bertemu dengan masyarakat setempat sepanjang kempen PRK DUN Ayer Kuning.

SH: Sejak hari pertama berkempen, pelbagai isu dibangkit terhadap PN dan juga calon sendiri. Bagaimana menangani perkara yang dibangkitkan itu?

Sebelum memasuki pilihan raya, saya telah pun membayangkan bahawa serangan-serangan itu akan berlaku. Persiapan mental, fizikal itu telah ada dan alhamdulillah sepanjang saya berkempen, saya rasa serangan itu tidak memberi kesan kepada kempen saya serta kepada rakyat. Tapi semasa saya pergi ke akar umbi ketika kempen-kempen, serangan yang dibangkitkan itu, tak dibangkitkan oleh rakyat. Jadi saya rasa benda itu tak memberikan kesan apa-apa.

SH: Dari segi gerak kerja kempen, bagaimana anda melihat keberkesanan cara kempen-kempen yang dilaksanakan?

Kepelbagaian cara kempen ini ada kesannya Insya-ALLAH. Kita menyantuni dengan hati, itu satu kekuatan. Menyantuni dengan hati dan kita santun semua orang yang kita jumpa tanpa mengira parti, tanpa mengira kaum, tanpa mengira bangsa. Kita santuni dengan hati dan saya kira inilah satu kekuatan yang menarik mereka sehingga mereka boleh menerima kita, menyambut kita.

Jadi setiap cara kempen itu ada kesan-kesan tersendiri termasuklah ce-ramah. Walaupun ceramah ini, kalau kita lihat orang tak ramai hadir ataupun orang tempatan tak ramai, orang luar ramai, tapi ada kesan tersendiri sebab ceramah ini bersifat hibrid iaitu warga tempatan yang hadir dan orang yang melihat siaran langsung. Setiap cara kempen itu ada kesannya. Kita gunakan segala medium, segala cara untuk berkempen yang penting tidak langgar undang-undang SPR.

Abd Muhaimin (tiga dari kanan) ketika berkempen di Pekan Ayer Kuning, Jumaat lalu.
Abd Muhaimin (tiga dari kanan) ketika berkempen di Pekan Ayer Kuning, Jumaat lalu.

SH: Apakah tawaran mahu diberikan kepada pengundi di DUN Ayer Kuning ini?

Dari sudut pengundi di sini, kita lihat sepanjang kempen, aduan-aduan, isu-isu yang dibangkitkan ada isu keselamatan, isu tanah diteroka, isu haiwan liar, haiwan peliharaan yang tak terjaga, isu alam sekitar. Saya lihat isu-isu ini akan jadi satu tawaran semula bagi saya untuk kita selesaikan isu ini setelah kita dapat kuasa ataupun beroleh kemenangan. Untuk orang muda, kita cuba melihat peluang- peluang pekerjaan.

Kita akan jadi pemudah cara untuk orang muda ini berhubungan dengan pihak-pihak berwajib untuk mendapatkan pekerjaan-pekerjaan untuk mereka supaya mereka dapat bertahan daripada kehidupan mereka. Untuk pengundi-pengundi luar, saya rasa mereka berada di luar. Mereka bekerja di luar, pendapatan mereka ada di luar. Mereka hanya balik pengundi sahaja. Mungkin kita boleh melihat keluarga mereka di sini apa keperluan, apa masalah-masalah yang keluarga mereka hadapi.

SH: Minggu terakhir kempen, apa pesanan anda kepada pengundi dan juga jentera yang bertungkus lumus untuk kempen?

Pertama sekali, saya ucap terima kasih kepada seluruh jentera PN yang bertungkus lumus, mengeluarkan belanja sendiri, datang daripada jauh dan dekat, menghabiskan tenaga, kadang-kadang tak sempat nak berehat untuk memenangkan PN. Jadi saya ucap terima kasih.

Yang kedua, pesanan saya kepada khasnya pertama kepada jentera PN supaya tidak melakukan sebarang pelanggaran undang-undang dalam kempen kita. Tidak melakukan provokasi, tidak menerima provokasi. Jaga tutur kata, jaga adab, jaga akhlak Islam dalam kita berkempen sebab kita nak menyentuh masyarakat dengan hati kita.

Janganlah kita lakukan perkara-perkara yang boleh melanggar etika tersebut. Ikutlah etika dan sebagainya supaya kita dapat menjalankan kempen secara harmoni. Ini pesanan saya. Saat-saat akhir ini, kemungkinan yang tak baik itu boleh berlaku.

SH: Apa pandangan mengenai calon-calon parti yang bertanding?

Saya melihat ke semua calon yang bertanding ini ada potensi tersendiri, ada keistimewaan tersendiri. Jadi bagi kita PN, kita masuk, tawarkan diri kerana kita ada keistimewaan kita tersendiri dan kita ingin menawarkan yang lebih baik daripada apa yang pernah dibuat sebelum-sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!