Penduduk tertekan angkara serangan lalat

Impian mereka hanya untuk memulakan hidup baharu di rumah sendiri namun bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kediaman yang baharu sahaja diduduki sejak setahun lalu dibelenggu serangan lalat luar biasa setiap hari.
Serangan itu dipercayai berpunca daripada dua buah reban unggas berhampiran, sekali gus menjadikan kehidupan mereka tidak ubah seperti tinggal di kawasan ladang ternakan.
Lebih malang, segala keterujaan menyambut rumah baharu kini bertukar menjadi tekanan berpanjangan apabila setiap ruang rumah termasuk dapur, bilik tidur dan ruang tamu menjadi ‘port persinggahan’ ratusan lalat.
Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI yang bertemu dengan wakil penduduk Taman Perdana, Jalan Bukit Tambun, Simpang Ampat bagi menyingkap masalah yang dihadapi sejak penghujung tahun lalu.
BATU KAWAN - Lebih 120 keluarga yang menetap di Taman Perdana, Jalan Bukit Tambun, Simpang Ampat dekat sini merayu agar pihak berkuasa segera mengambil tindakan tegas terhadap dua buah reban unggas berhampiran kawasan perumahan mereka yang dipercayai menjadi punca serangan lalat luar biasa sejak setahun lalu.
Masalah tersebut mula menghantui penduduk sejak Oktober tahun lalu sejurus mereka menerima kunci rumah dan mula mendiami kediaman masing-masing.

Sehingga kini, masalah lalat yang berterusan itu bukan sahaja mencetuskan ketidakselesaan, malah turut menjejaskan kualiti hidup dan kesihatan mereka.
Wakil penduduk, N Vijay, 31, berkata, kehadiran lalat amat mengganggu terutama ketika mereka hendak menyediakan makanan, mengeluarkan barangan daripada peti sejuk dan semasa memasak.
“Setiap kali hendak masak atau makan, kami terpaksa bertarung dengan lalat. Belum sempat makanan dihidang, lalat sudah menghurung.
“Semua penduduk rasa seperti hidup di tepi tong sampah kerana kehadiran lalat yang sangat banyak. Kami juga bimbang anak-anak jatuh sakit kerana tahap kebersihan yang terjejas,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Kata anak jati Batu Kawan itu, lorong paling terkesan adalah Lorong 24 dan 26 kerana terletak berdekatan dengan kedua-dua reban unggas berkenaan.
“Dua lorong ini paling dekat dengan reban iaitu kira-kira 100 meter. Mereka paling tertekan dengan jumlah lalat yang sangat banyak.
“Selain taman perumahan kami, ada sebuah flat lagi dekat dengan reban tetapi saya tidak pasti mereka hadapi masalah yang sama atau tidak. Setakat ini, kami tak pernah dengar rungutan mereka,” katanya.
Jurutera itu berkata, kesemua penduduk tidak mengetahui masalah tersebut sebelum membeli rumah di taman berkenaan.
“Penduduk setiap hari mengalami tekanan akibat masalah lalat ini dan merungut di dalam grup WhatsApp.
“Ini menyebabkan ada antara penduduk yang belum masuk ke rumah baharu berfikir dua kali untuk menetap di sini, malah ada yang berhasrat menjual rumah walaupun belum sempat diduduki.
“Saya sendiri pernah pertimbangkan nak jual rumah ini sebab tak tahan dengan gangguan lalat. Beli rumah dengan harga mahal, tapi tidak dapat hidup selesa, buat apa kan?” katanya.
Menurut Vijay, penduduk sudah beberapa kali mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa sejak tahun lalu.
“Tindakan termasuk pemeriksaan dan kompaun sebanyak RM15,000 telah dikenakan terhadap pengusaha reban oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang namun masalah masih berterusan.
“Selain itu, operasi semburan kabus turut dijalankan beberapa kali, namun kesannya hanya sementara apabila lalat kembali menyerang pada keesokan hari,” katanya.

Beliau menambah, siasatan bersama Jabatan Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapati kadar kehadiran lalat di taman berkenaan berada pada tahap tinggi.
“Kami tidak pasti sama ada reban tersebut beroperasi secara sah atau tidak namun apa yang penduduk mahu adalah pihak berkuasa lebih tegas dalam memastikan pengusaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kami tidak bantah reban itu beroperasi, tapi biarlah ikut SOP. Tetapi sebolehnya, kami mahu reban unggas tersebut mengubah lokasi operasi ke satu lokasi yang lebih jauh dan tidak berdekatan dengan perumahan.
“Kami sebagai pemilik rumah juga berhak untuk hidup dalam persekitaran bersih dan selesa. Penduduk berharap isu ini mendapat perhatian serius pihak berkuasa tempatan agar penyelesaian jangka panjang dapat dicapai demi kesejahteraan komuniti setempat,” tegasnya.
Ladang ternakan unggas beroperasi tanpa lesen sah - Exco
Dua buah ladang ternakan unggas di Jalan Bukit Tambun di sini dikenal pasti sebagai punca aduan kacau ganggu lalat yang menjejaskan kehidupan penduduk sekitar Taman Perdana, Simpang Ampat.
Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, laporan pemeriksaan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang mendapati kedua-dua ladang yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat itu beroperasi tanpa lesen sah pada tahun 2025.

“Pemeriksaan yang dijalankan pada jam 11 pagi, 16 April lalu oleh sepasukan pegawai jabatan yang diketuai Dr Nurhayati Ramli mengesahkan bahawa tiada aktiviti penternakan dijalankan ketika pemeriksaan dilakukan.
“Menurut laporan tersebut, ladang di Lot 864, Jalan Bukit Tambun yang beroperasi secara reban tertutup, telah diarahkan untuk menghentikan operasi penternakan oleh jabatan berkenaan sejak bulan lalu. Ladang tersebut terletak berhampiran kawasan flat bersebelahan Taman Perdana.
“Sementara ladang kedua di Lot 3588 yang beroperasi secara reban terbuka juga didapati tidak beroperasi dan telah dihentikan sepenuhnya sejak awal tahun ini. Jabatan turut menyatakan bahawa mereka tidak membenarkan sebarang aktiviti penternakan dijalankan di ladang terbabit,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua ladang juga pernah dilesenkan pada 2024 namun telah menerima banyak aduan daripada penduduk setempat berikutan masalah lalat yang serius.
“Sebagai langkah penguatkuasaan, ladang di Lot 864 telah dikenakan kompaun sebanyak RM15,000 manakala ladang di Lot 3588 pula dikenakan kompaun RM7,500 pada tahun lalu. Difahamkan, kedua-dua kompaun telah dijelaskan oleh pihak pengusaha.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar memaklumkan dua premis tersebut masih berada dalam pemantauan susulan status lesen yang digantung dan kemungkinan untuk menimbang semula kelulusan lesen akan berdasarkan perkembangan semasa,” ujarnya.
Fahmi berkata, masalah lalat yang berpunca daripada ladang ternakan menjadi isu berulang di kawasan itu dan menimbulkan ketidakselesaan penduduk serta menjejaskan persekitaran.
“Jabatan turut menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat jika terdapat aktiviti penternakan haram atau pencemaran alam sekitar yang mengganggu ketenteraman awam,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

