Mesin ATM emas kena serbu

Mesin itu hanya menerima syiling, barang kemas atau jongkong seberat lebih tiga gram dengan tahap ketulenan 50 peratus. Foto Agensi
Mesin itu hanya menerima syiling, barang kemas atau jongkong seberat lebih tiga gram dengan tahap ketulenan 50 peratus. Foto Agensi
A
A
A

BEIJING - Orang ramai tidak lagi perlu ke pajak gadai dengan ciptaan Mesin Teler Automatik (ATM) emas ini.

Rekaan dibangunkan Kinghood Group berpusat di Shenzhen itu menandakan era baharu automasi kewangan melibatkan emas ketika harga logam berharga itu sedang meningkat dengan pesat di seluruh dunia.

Pengguna sanggup beratur panjang di ATM emas yang disediakan di sebuah pusat beli-belah di Shanghai untuk menukar barang kemas pusaka dan emas lama dengan wang tunai segera.

"Ramai orang memilih untuk menukar emas dengan wang ketika ini kerana lonjakan harga luar biasa. Urus niaga di ATM emas itu lebih cepat dan mudah," kata Xu Weixin di Persatuan Emas Shanghai.

Difahamkan, mesin itu berupaya mencairkan emas, memeriksa ketulenan dan beratnya serta memindahkan wang mengikut nilainya ke akaun bank pengguna dalam tempoh 30 minit malah tiada kertas kerja atau dokumen diperlukan.

Rangkaian ATM pintar itu sudah meliputi hampir 100 bandar di seluruh China dan mesin kedua sedang dirancang untuk Shanghai.

ATM emas yang sudah menjadi tular di media sosial turut menerima pelbagai reaksi warganet malah ada yang mengagumi idea ciptaan mesin pintar tersebut.

"Mengapa tiada mesin secanggih ini di Amerika?" sindir seorang pengguna di tengah-tengah perang tarif Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin sengit. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!