Polis mohon bantuan orang ramai kenal pasti mangsa rentung

Kereta jenis Kia Sonata dengan nombor pendaftaran BGK 2338 yang terbakar sepenuhnya dalam kemalangan di Kilometer 65.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara pada malam Jumaat.
Kereta jenis Kia Sonata dengan nombor pendaftaran BGK 2338 yang terbakar sepenuhnya dalam kemalangan di Kilometer 65.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara pada malam Jumaat.
A
A
A

PENDANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerjasama orang ramai bagi membantu mengenal pasti identiti mangsa yang rentung dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 65.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, pada malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu, sebuah kereta jenis Kia Sonata dengan nombor pendaftaran BGK 2338 dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan, lalu terbalik dan terbakar sepenuhnya.

Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan tersebut telah dijual oleh pemilik asal pada tahun 2016 kepada seorang individu warga tempatan tanpa penukaran nama dalam geran rasmi.

“Pihak polis kini sedang berusaha mengesan pembeli kenderaan tersebut melalui pemilik asal bagi mendapatkan maklumat lanjut, termasuk nombor telefon individu terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, dalam usaha mengenal pasti identiti mangsa, pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah turut digerakkan bagi mendapatkan nombor casis kenderaan yang terbakar.

“Polis menyeru orang ramai yang mempunyai ahli keluarga atau kenalan yang memiliki kenderaan berkenaan, atau yang gagal dihubungi selepas melalui laluan tersebut pada waktu kejadian, agar tampil membantu siasatan.

“Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zamzurina Ahmad di talian 019-3844495 atau hadir ke Balai Polis Pendang untuk memberikan maklumat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!