Presiden Persatuan Kriket Malaysia dakwa wujud komplot guling kepimpinan

PRESIDEN Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali mendedahkan wujudnya cubaan terancang oleh sekumpulan kecil individu untuk menggulingkan kepimpinan semasa melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang disifatkan sebagai tidak sah dan bermotifkan kepentingan peribadi.
Menurut Iqbal, tindakan tersebut dilakukan secara tidak telus, berselindung di sebalik kempen maklumat yang mengelirukan serta janji-janji imbuhan masa depan tanpa pengetahuan sebahagian besar ahli gabungan.
“Nasihat undang-undang yang kami terima menunjukkan bahawa permintaan untuk mengadakan EGM bagi menyingkirkan ahli Exco adalah kemungkinan besar ultra vires dan dibuat dengan niat tidak baik,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Beliau turut mendedahkan bahawa pihak MCA mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan permintaan asal itu tidak ditandatangani oleh sekurang-kurangnya seorang individu yang dinamakan, malah dilakukan tanpa pengetahuan beberapa ahli kanan persatuan negeri.
Lebih mengejutkan katanya, beberapa individu yang dicalonkan untuk jawatan kepimpinan baharu didakwa mengetahui perkara ini secara langsung.
"Seorang daripada mereka juga dilaporkan mewakili individu yang dinamakan dalam permintaan tersebut.
“Perkara ini adalah amat serius dan hanya boleh diselesaikan melalui siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa yang berkaitan,” tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, maklumat dan dokumen berkaitan telah diserahkan kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) dan Unit Anti-Rasuah Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) untuk tindakan segera.
Penyerahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut dirancang dalam masa terdekat.
Iqbal turut menyatakan bahawa siasatan yang telah dimulakan kini berada di pelbagai peringkat dan melibatkan beberapa agensi, justeru ia memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak yang mempunyai maklumat.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap budaya ketakutan, buli dan intimidasi yang semakin menular dalam kalangan komuniti kriket negara akibat tindakan pihak tertentu yang cuba merampas kuasa secara tidak sah.
“Saya tidak mahu proses pemilihan ini dikenang sebagai ‘pilihan raya yang dicuri’,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Iqbal mengesahkan bahawa walaupun beliau telah dicalonkan semula sebagai Presiden, beliau tidak akan bertanding bagi penggal seterusnya.
Sebaliknya, beliau menarik balik peletakan jawatannya pada 13 April lalu dan akan terus memegang jawatan Presiden MCA sehingga tamat penggal semasa atau sehingga siasatan diselesaikan dan keputusan rasmi dibuat oleh pihak berkuasa berkaitan.
Sebagai langkah memastikan keadilan dan ketelusan, beliau turut mencadangkan agar Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan MCA yang akan datang ditangguhkan bagi memberi laluan kepada proses siasatan.
“Penangguhan ini penting bagi memastikan integriti persatuan terus terpelihara serta mengelakkan sebarang perbalahan undang-undang yang boleh menjejaskan hala tuju pembangunan kriket negara dalam jangka masa pendek dan panjang,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!