Kedah guna pendekatan harmoni tangani rumah ibadat tidak sah

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mengambil pendekatan berhemah dan harmoni dalam menangani isu pembinaan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) tanpa kebenaran sah di beberapa daerah di negeri ini.
Exco Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, NGO negeri, Wong Chia Zhen berkata, sebarang pembinaan atau permohonan tapak RIBI perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti termaktub dalam undang-undang sedia ada.
Menurutnya, antara daerah yang mencatatkan jumlah permohonan RIBI tertinggi ialah di Kuala Muda dan Kulim.
“Terdapat beberapa RIBI di kedua-dua daerah ini yang dibina secara haram. Perkara ini sedang dipantau rapi dan usaha sedang dijalankan bagi menyelaras serta menyelesaikan isu-isu berbangkit,” katanya pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Selasa.
Chia Zhen menegaskan, isu melibatkan sensitiviti kaum dan agama ini perlu ditangani secara berhati-hati selain tidak dijadikan modal politik pihak tertentu.
“Pendekatan kita, ibarat ‘menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak’.
“Kita tidak ambil tindakan keras secara langsung, sebaliknya beri ruang kepada rundingan dan penyelesaian secara baik dan teratur,” ujarnya.
Beliau turut memberi jaminan, pihaknya sentiasa terbuka untuk menjadi pemudah cara dalam membantu menyelesaikan isu-isu berkaitan, terutamanya membabitkan penglibatan persatuan penganut dan pemilik tanah.
“Saya secara konsisten mengadakan mesyuarat dan memainkan peranan aktif dalam perbincangan bersama semua pihak berkaitan.
“Saya akan terus pertahankan undang-undang sedia ada sambil memastikan kebajikan rakyat pelbagai kaum dan agama terus terpelihara,” katanya.
Chia Zhen berkata, penekanan turut diberikan kepada pembinaan RIBI baharu yang mematuhi sepenuhnya garis panduan serta peraturan ditetapkan.
“Bagi menjamin keseimbangan antara pembangunan fizikal dan keharmonian sosial di negeri ini, sebanyak lima permohonan tapak tanah kerajaan untuk RIBI diluluskan. Ia melibatkan empat secara rizab dan satu secara pemberimilikan di daerah Kuala Muda,” ujarnya.
Menurutnya, komitmen ini menunjukkan kerajaan negeri sentiasa komited memenuhi keperluan masyarakat majmuk tanpa mengetepikan aspek perundangan, perancangan dan keharmonian antara agama.
Mengulas mengenai isu Kuil Sri Veerama Kaliaman di Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Tongkang Yard, Chia Zhen memaklumkan, rumah ibadat tersebut akan dipindahkan ke lokasi lebih sesuai bagi menjamin keselesaan dan keselamatan selain untuk memenuhi keperluan perancangan tanah yang lebih tersusun.
“Dalam Mesyuarat RIBI pada 13 April, beberapa lokasi cadangan telah dikemukakan oleh pihak jawatankuasa kuil dan kini dalam proses penilaian kesesuaian oleh pentadbir tanah Kota Setar.
“Saya akan menyelaras langkah-langkah pelaksanaan seterusnya berkaitan proses pemindahan ini.
“Segala usaha dilaksanakan secara inklusif dan penuh rasa hormat terhadap sensitiviti masyarakat setempat, selaras dengan hasrat kerajaan negeri memastikan keharmonian antara kaum dan agama terus terpelihara di negeri ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

