Isteri Da'i Farhan didakwa menipu

Noorainul Naqim ketika hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Noorainul Naqim ketika hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Isteri kepada Da'i Nik Farhan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang wanita dengan menjanjikan menguruskan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan sijil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi produk milik mangsa.

Noorainul Naqim Mohd Radzi, 41, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Majistret, Wong Chai Sia.

Dia didakwa memperdaya Norsiha Aala, 48, di Taman Keramat Wangsa pada 21 Disember 2017 hingga 26 Februari 2018 dengan mendorong mangsa menyerahkan wang RM10,050 kerana percaya bahawa tertuduh boleh mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan sijil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi produk milik wanita itu.

Nik Ahmad Farhan hadir bagi mengikuti prosiding pendakwaan terhadap isterinya, Noorainul Naqim di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Nik Ahmad Farhan hadir bagi mengikuti prosiding pendakwaan terhadap isterinya, Noorainul Naqim di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama

Mangsa membuat bayaran RM10,050 kepada tertuduh sehingga mengalami kerugian dan mangsa tidak akan membuat sedemikian jika tidak diperdaya tertuduh.

Pendakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar menawarkan jaminan RM 10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun Noorainul Naqim yang diwakili peguam, Shaik Abdullah memohon jaminan rendah berikutan dia menjalankan perniagaan sendiri serta perlu menanggung lapan anak yang berumur dari 5 hingga 19 tahun yang masih bersekolah.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM 4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 3 April depan.