[VIDEO] Lelaki didakwa ragut beg tangan wanita

A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang penyelenggara penyaman udara mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencuri ragut beg seorang wanita pada minggu lalu.

A Thines, 25 membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, Juraidah Abbas di di Mahkamah Sesyen 1 di sini pada Selasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan curi sebuah beg jenama Longcham yang mengandungi wang tunai RM1,000, sebuah Iphone 7, pasport dan kad kredit milik seorang wanita Indonesia bernama Novita Badjo.

Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan ketakutan bahawa cedera serta-merta terhadap mangsa akan berlaku.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan Jalan Kuala Kangsar di sini pada jam 4.30 petang, 17 April lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara 14 tahun, boleh juga disebat atau denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Ketika prosiding, Puteri Nor Nadia memohon satu jaminan yang tinggi berikutan tertuduh sedang menjalani perbicaraan kes curi di Mahkamah Balik Pulau.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, kes melibatkan tertuduh telah mendapat perhatian umum selepas klip video perbuatannya itu telah tular di media sosial.

"Saya memohon agar satu jaminan tinggi dikenakan dan memohon mahkamah mengambil beberapa faktor lain kerana tertuduh ada kes lain (perbicaraan) di Mahkamah Balik Pulau, juga melibatkan kes curi.

"Walaupun tertuduh mempunyai kes bicara dan dalam jaminan, dia masih melakukan jenayah curi yang lain dan ia menunjukkan satu pola jenayah tertuduh melakukan jenayah curi ragut," katanya.

Puteri Nor Nadia turut memohon syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Dalam rayuannya, Thines memohon wang jaminan dikurangkan berikutan dia penanggung tunggal keluarga selain isterinya sedang sarat mengandung anak pertama mereka.

"Saya seorang saja bekerja dengan gaji bulanan RM1,600. Isteri saya sedang sarat hamil, lagi sebulan dia akan bersalin anak pertama kami.

"Oleh itu, saya mohon mahkamah mengenakan wang jaminan yang rendah terhadap saya," katanya.

Juraidah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Beliau turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melaporkan diri di balai polis terdekat setiap 1 haribulan setiap bulan.

Kes ditangguhkan sehingga 28 Mei untuk lantikan peguam serta serahan dokumen.

Difahamkan, tertuduh membayar wang jaminan tersebut.

Sebelum ini tular di media sosial sebuah klip video berdurasi 38 saat yang memaparkan seorang wanita yang berjalan seorang diri telah diragut beg tangannya oleh seorang individu yang menunggang motosikal.

Mangsa cuba mengejar namun gagal selepas suspek memecut laju motosikalnya.

Susulan daripada itu, suspek berjaya ditahan kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!