Sistem kemasukan MRSM, SBP wajar diselaras

Norliza.
Norliza.
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan penyelarasan sistem kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang akan dilaksanakan mulai Januari 2026 disifatkan sebagai langkah bijak dan berpandangan jauh demi masa depan anak bangsa.

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, sistem kemasukan baharu itu bakal memastikan proses pengambilan pelajar ke dua institusi pendidikan berasrama penuh itu dilaksanakan secara lebih efisien dan teratur.

“Penyelarasan ini akan mengurangkan pertindihan tawaran dan mengelakkan situasi di mana tempat yang telah diperuntukkan di MRSM terbiar kosong apabila pelajar beralih ke SBP dalam pengambilan berikutnya.

“Keadaan ini merugikan kerana ramai pelajar dalam senarai menunggu tidak mendapat peluang walaupun mereka bersedia menerima tawaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mengusulkan keperluan penyelarasan sistem kemasukan MRSM dan SBP agar selari dengan matlamat negara membangunkan modal insan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu berkata, sistem penyelarasan yang lebih mantap akan membantu institusi berkenaan merancang pengambilan pelajar dengan lebih tersusun, sekali gus menyokong hasrat kerajaan mencapai sasaran 70 peratus kemasukan pelajar dalam bidang STEM.

“Usaha kerajaan ini amat signifikan dalam memperkukuh sistem pendidikan negara dan merupakan langkah penting untuk masa depan anak-anak kita dan kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.

Terdahulu, Zahid ketika berucap dalam satu majlis pendidikan menyatakan komitmen kerajaan untuk menyelaras kemasukan MRSM dan SBP bagi mengelakkan berlakunya kekosongan tempat akibat pertindihan tawaran.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!