KPM perlu ikut langkah MARA - PIBGN

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengikut langkah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang mengambil bekas pegawai tentera dan polis untuk berkhidmat sebagai warden sepenuh masa dalam usaha menangani kes buli melibatkan pelajar sekolah di negara ini.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, pelantikan pesara dalam sektor pekerjaan profesional tersebut diyakini dapat memperkukuhkan lagi usaha membentuk disiplin golongan berkenaan.
“Saya menyokong penuh langkah MRSM untuk mengambil pesara profesional, khususnya dalam kalangan bekas pegawai polis dan tentera, bertugas sepenuh masa sebagai warden di sekolah berasrama penuh.
“Sekarang ini, ada baik juga jika KPM menyusuli langkah yang dibuat Mara ini, walaupun mungkin ia memerlukan jangka masa yang panjang untuk dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bahawa agensi itu akan memulakan pengambilan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas pegawai tentera dan polis bagi memperkukuh aspek disiplin serta membanteras kes buli melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Sementara itu, Mohamad Ali turut mencadangkan supaya KPM dan Mara melantik kakitangan akademik atau pendidik untuk bekerja sepenuh masa sebagai warden.
Bagi mencapai hasrat tersebut, katanya, kerajaan, khususnya KPM, perlu mewujudkan penjawatan sepenuh masa dan menawarkan tangga gaji yang sesuai agar dapat menarik minat kumpulan terlibat.
“Saya percaya, kalau sudah ada jiwa pendidik dan jiwa disiplin dalam kalangan pendidik, itu lebih baik daripada hanya mempunyai jiwa disiplin tanpa jiwa pendidik,” katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui bahawa syor berkenaan mungkin memerlukan masa untuk dilaksanakan tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!