Kes tembakan, ganti rugi RM602,500 kepada pekerja sawit kekal

PUTRAJAYA - Dua anggota polis dan kerajaan gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Taiping supaya membayar ganti rugi berjumlah RM602,500 kepada seorang pekerja ladang kelapa sawit, Isma Izami Jaafar yang ditembak sembilan tahun lalu.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Hashim Hamzah memutuskan demikian selepas menolak rayuan kerajaan dan dua anggota polis, Koperal Zulkifli Sulaiman serta Konstabel Zafran Aiman Zainol.
Ketika membacakan keputusan, Hakim Hashim berkata, Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila mendapati kedua-dua anggota polis itu melakukan kecuaian peribadi dan gagal menjalankan tanggungjawab dengan cermat semasa bertugas.
"Tiada kesilapan dalam fakta yang dikemukakan, maka keputusan mahkamah rendah adalah tepat dalam memutuskan bahawa kerajaan dan anggota polis itu bertanggungjawab secara vikarius," katanya yang bersidang bersama Hakim-hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Ismail Brahim.
Dalam prosiding ini, Peguam Kanan Persekutuan, Siti Syuhada Alwi hadir mewakili perayu, manakala peguam Azamuddin Abdul Aziz mewakili Isma.
Pada 3 Oktober 2023, Mahkamah Tinggi Taiping mengarahkan ketiga-tiga perayu itu membayar ganti rugi berkenaan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Ruwena Md Nurdin (kini Hakim Mahkamah Tinggi) mendapati Zulkifli dan Zafran Aiman cuai semasa menjalankan tugas.
Beliau berkata, adalah mudah untuk menjangkakan bahawa anggota polis terlatih yang menembak ke arah orang awam dari kenderaan yang bergerak di atas jalan berliku sedang mengundang bencana.
Pada 10 November 2016, Isma Izami memandu kereta bersama tiga rakannya dari Semanggol di Kamunting, Perak, ke Alor Pongsu sebelum sebuah kenderaan polis datang dari sebelah kiri jalan dan mengarahkannya berhenti.
Isma yang memandu tanpa lesen sah, panik dan meneruskan perjalanan, menyebabkan anggota polis itu melepaskan tembakan ke arah keretanya.
Secara keseluruhan, anggota polis melepaskan 22 das tembakan dalam insiden itu, menyebabkan Isma perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan serpihan peluru dari otaknya.
Dalam keterangannya, Isma berkata, logam asing yang menembusi otaknya telah mengakibatkan kerosakan otak kekal dan menyebabkan dia kehilangan fungsi asas, termasuk kebolehan untuk melakukan kiraan mudah.
Mahkamah Tinggi memberikan Isma RM350,000 sebagai ganti rugi am, dengan mengambil kira kecederaan yang dialaminya.
Mahkamah juga memerintahkan bayaran RM240,000 sebagai kerugian pendapatan dan RM12,500 sebagai ganti rugi khas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!