Tipu resit bayaran makanan, dua lelaki ditahan polis

SHAH ALAM - Polis menahan dua lelaki masing-masing bekerja sebagai juru audit sebuah syarikat gas dan bekerja sendiri kerana dipercayai menipu pembayaran selepas dua kali makan di sebuah restoran di Seksyen 13, di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan dibuat oleh peniaga restoran terbabit yang berusia 35 tahun.
Terdahulu kata beliau, kejadian penipuan membabitkan penggunaan resit pembayaran palsu itu tular di media sosial.
Menurutnya, kejadian berlaku pada 14 April lalu kira-kira jam 10.18 malam, apabila seorang pelanggan menunjukkan resit transaksi dalam talian berjumlah RM304.50 sebagai bukti pembayaran makanan yang dipesan.
“Selepas semakan dilakukan, mangsa mendapati tiada sebarang kemasukan wang dalam akaun bank perniagaannya."Malah, mangsa turut memaklumkan kejadian sama pernah berlaku sebelum ini oleh individu sama. Jumlah kerugian yang dialami mangsa mencecah RM348.10,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohd Iqbal berkata, bertindak atas maklumat, pihak polis telah menahan dua individu jam 2.50 pagi, Isnin kerana dipercayai terlibat dengan kes tersebut.
Katanya, semakan mendapati suspek berusia 34 tahun mempunyai tiga rekod lampau, sementara seorang lagi suspek berusia 35 tahun turut memiliki rekod lampau kesalahan jenayah.
"Reman selama empat hari telah diperoleh ke atas kedua-dua suspek sehingga Khamis ini.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara dan denda serta sebat," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Iqbal mengingatkan peniaga agar lebih berhati-hati dengan transaksi dalam talian dan tidak hanya bergantung kepada bukti resit secara manual atau tangkap layar.
Jelasnya, sebarang transaksi hendaklah disemak terus melalui sistem perbankan rasmi sebelum menyerahkan barangan atau perkhidmatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!