Lelaki tikam kakak ipar hingga maut selepas pertengkaran mulut

Ahzan bercakap kepada pemberita dalam sidang media pada Selasa.
Ahzan bercakap kepada pemberita dalam sidang media pada Selasa.
A
A
A

ACHEH - Seorang lelaki bertindak kejam menikam kakak iparnya hingga maut selepas berlaku pertengkaran mulut berkaitan tuduhan sihir di Desa Teupin Banja, Kecamatan Muara Batu, Lhokseumawe, Acheh Utara, baru-baru ini.

Ketua Polis Lhokseumawe, AKBP Ahzan berkata, mangsa dikenali sebagai H, 38, maut di tempat kejadian selepas ditikam lima kali oleh suspek, FU, 39, yang juga adik kandung kepada suami mangsa.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berlarutan selama lebih setahun antara kedua-dua pihak.

"Pertengkaran tercetus apabila mangsa menegur FU dan meminta isterinya berhenti menuduh dia mengamalkan ilmu hitam terhadap keluarga mereka.

"Suspek yang berang terus mengeluarkan pisau lalu menikam mangsa dan memukulnya dengan batu sehingga mangsa rebah berlumuran darah," katanya pada Selasa.

Tambah Ahzan, selepas kejadian, FU melarikan diri dengan motosikal selepas menyembunyikan pisau di rumah ibu bapanya dan meninggalkan anaknya di rumah jiran.

"Bagaimanapun, polis berjaya mengesan suspek bersembunyi di rumah ibu bapa mentuanya di Desa Babah Buloh, Kecamatan Sawang dan menahannya tidak lama kemudian hasil maklumat orang awam," ujarnya lagi.

Menurut beliau, FU kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Lhokseumawe. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!