Kedah perlu ambil peluang kesan tarif AS, tawar 16,000 hektar tanah industri

ALOR SETAR - Semua pihak harus mengambil peluang kesan daripada pertembungan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China bagi menarik pelabur dari negara tembok besar itu beralih ke Kedah.
Exco Industri dan Pelaburan negeri, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, penguatkuasaan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) kepada China menjadi ruang terbaik untuk meletakkan Kedah sebagai destinasi pelaburan terbaik.
Menurutnya, Kedah masih memiliki lebih 16,000 hektar tanah diwartakan dalam sektor perindustrian untuk ditawarkan kepada pelabur luar yang mahu mengembangkan perniagaan mereka di rantau ini.
“Polisi China juga menetapkan syarikat-syarikat dari negara itu perlu keluar berniaga ke negara luar untuk kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa.
“Jadi secara keseluruhan. Kedah ada lebih 16,000 hektar tanah perindustrian yang diwarta dan tersedia menerima pelabur ke negeri ini,” katanya ketika menjawab soalan lisan Abdul Ghafar Saad (Bersatu-Guar Chempedak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, pada Isnin.
Haim Hilman berkata, tanah yang tersedia untuk dibangunkan termasuk kawasan di zon utara, iaitu Special Border Economic Zone (SBEZ), Kedah Science & Technology Park (KSTP), Bukit Kayu Hitam Halal Hub and Logistic Centre, Kedah Rubber City (KRC) dan Digital ASEAN Halal Hub.
“Zon tengah pula menempatkan Gurun Heavy Industrial Park, Northern Smart Park, Bukit Selambau Industrial Park dan Kedah Aerotropolis.
“Di zon selatan, kawasan industri melibatkan Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kulim Industrial Corridor, Padang Meha Industrial Park, Kulim East Industrial Park, North Kulim Industrial Park dan Bandar Baharu New Industrial Park,” jelasnya.
Menurutnya lagi, dalam konteks KHTP, kawasan industri itu bakal menyediakan 200 hektar lagi tanah bawah Fasa 5 selepas proses penyediaan infrastruktur dipercepatkan selepas pertemuan Menteri Besar Kedah dan Perdana Menteri.
“KHTP bukan inisiatif Kerajaan Persekutuan semata-mata, ia kerjasama strategik dengan kerajaan Kedah yang menjadikan KHTP sebagai mahkota pembangunan ekonomi negara dan rumah kepada syarikat multinasional (MNC) seperti Intel, Infineon dan Osram.
“Rantaian bekalan yang semakin berkembang pesat membolehkan KHTP berkembang ke fasa berikutnya setelah pajakan tanah Fasa 4A hampir habis dan kini akan memasuki Fasa 5,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

