'Pantau naik taraf LRA Bukit Selambau, elak lewat lagi'

Bau Wong
Bau Wong
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri disaran memberi khidmat nasihat dan memantau kerja-kerja pembangunan naik taraf pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau yang ketika ini menghadapi masalah kelewatan.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Bau Wong Bau Ek berkata, kerajaan perlu memastikan kontraktor yang dilantik dapat menyiapkan projek itu dalam tempoh ditetapkan dan memperbaiki kelemahan sedia ada di tapak pembinaan.

Menurutnya, sekiranya LRA berkenaan masih tidak dapat disiapkan seperti dirancang, kerajaan wajar menyediakan pelan alternatif bagi memastikan projek tersebut disiapkan demi kepentingan rakyat Kedah.

“Ketika ini lanjutan masa (EOT) ketiga telah diberikan kepada pihak kontraktor dan tempoh tersebut akan berakhir pada 16 November ini.

“Maklumat ini saya perolehi ketika iringi Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir melawat tapak pembinaan LRA Bukit Selambau minggu lalu.

“Saya bukan hendak menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi mahu bantu selesaikan masalah secara bersama,” katanya ketika membahas usul menjunjung kasih titah Sultan Kedah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Isnin.

Bau Wong (PKR-Sidam) turut melahirkan kebimbangan projek berkenaan tidak mampu disiapkan dalam tempoh ditetapkan memandangkan komponen utama projek seperti pam belum dibeli dan difahamkan proses mendapatkan komponen itu mengambil masa sehingga enam bulan.

“Di beberapa kawasan di Kedah, bekalan air bersih masih menjadi isu utama. Penambahbaikan infrastruktur pembekalan air perlu diberi perhatian untuk memastikan air lebih bersih dapat disalurkan.

“Setiap pandangan dan kritikan disuarakan bersifat membina untuk kepentingan negeri dan rakyat, bukannya sebagai kecaman yang mengundang perbalahan.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap kerajaan negeri dapat menerima dengan hati terbuka sebarang pandangan daripada pembangkang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Bau Wong menyarankan agar kerajaan negeri mengambil tindakan proaktif membaik pulih rumah terbiar di negeri ini.

“Sultan Kedah memuji keprihatinan kerajaan negeri mendirikan rumah kediaman melalui inisiatif Desa Sejahtera, saya mohon kawasan perumahan yang terbakar dan terbiar diberikan perhatian.

“Antaranya, enam buah rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat terbakar pada 22 November 2023 di Taman Seri Impian dan kebakaran blok di Flat Paya Nahu (dua) belum dibaiki,” ujarnya.

Menurutnya lagi, apa yang dibimbangkan ialah air memasuki bangunan ketika hujan dan boleh menyebabkan penduduk berisiko terkena renjatan eletrik selain dikhuatiri bumbung yang rosak akibat kebakaran diterbangkan angin serta membahayakan persekitaran.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan terhadap bangunan terbiar tanpa penghuni yang dipenuhi pokok-pokok, semak samun, jadi sarang pembiakan nyamuk dan haiwan berbisa sekali gus bakal beri kesan kepada penduduk setempat,” katanya.

Bau Wong turut mencadangkan agar ekonomi peniaga kecil diberikan tumpuan dengan menyediakan tapak niaga lebih teratur dan dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air, tandas dan tempat letak kereta.

“Contoh terbaik adalah menaik taraf dan mempromosikan premis sedia ada seperti kompleks Pekan Rabu, Pekan Lama Sungai Petani dan SP Plaza di Sungai Petani.

“Jika kompleks sebegini diberi perhatian saya percaya ia bakal memberi impak positif dalam meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

“Untuk peniaga yang tidak mempunyai kedai tetap, kerajaan boleh sediakan ruang niaga, antaranya di tepi jalan di kawasan Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani di kawasan lapang berhampiran. Konsep ini boleh diterapkan di daerah lain juga,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!