Sultan Kelantan titah teliti isu bangunan terbiar, beri perhatian pembangunan bandar baharu

Sultan Muhammad V bertitah supaya kerajaan negeri meneliti isu bangunan terbiar serta memberikan perhatian kepada pembangunan bandar baharu di setiap jajahan.
Sultan Muhammad V bertitah supaya kerajaan negeri meneliti isu bangunan terbiar serta memberikan perhatian kepada pembangunan bandar baharu di setiap jajahan.
A
A
A

KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah supaya kerajaan negeri meneliti isu bangunan terbiar serta memberikan perhatian kepada pembangunan bandar baharu di setiap jajahan.

Menurut baginda dengan cara itu ia dapat memanfaatkan peluang ekonomi yang ada bagi meningkatkan pembangunan setempat.

"Beta berharap kerajaan negeri memberi perhatian kepada pembangunan bandar baharu di setiap jajahan sebagai pemangkin sektor perindustrian dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

"Bandar baharu ini perlu diterapkan dengan konsep bandar pintar agar negeri Beta tidak ketinggalan dalam arus kemajuan global," baginda bertitah semasa menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Isnin.

Turut mencemar duli, Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.

Dalam titah tersebut juga Sultan Muhammad V berharap dalam era kecerdasan buatan (AI) kemahiran teknikal dan digital menjadi semakin penting.

Ujar baginda, dengan ilmu dan kemahiran yang mencukupi, generasi muda akan lebih berdaya saing dan mempunyai nilai tambah bagi menyumbang kepada pembangunan modal insan negara.

"Oleh itu beta menyarankan kerajaan negeri mengkaji dan menyediakan platform pendidikan alternatif khususnya dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri semasa," titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!